KUALA LUMPUR- Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar pelaksanaan program vaksinasi rakyat Malaysia tidak terjejas meskipun kerajaan Perikatan Nasional (PN) terkubur.
Kata beliau, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu.
“Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.
” Jangan bimbang, Kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian.
” To all my fellow Malaysians, you don’t have to worry. My cabinet has ordered more than enough vaccines for all of you. If the vaccination programme goes well, all of you will get vaccinated by end of October.
” I hope the new government which takes over the administration of this country will take a good care of all of you because it is the only thing that I care about. I care for you always.
“Saya senantiasa prihatin dengan nasib saudara dan saudari sekalian kerana saya anggap saudara dan saudari sebagai anak-anak saya sendiri. Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat,” ucap beliau dalam perutusan khas pada Isnin.
Muhyiddin memberitahu beliau optimis bahawa negara akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat.
“Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.
“Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut.
“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga,” kata beliau.