Sesak Nafas Akibat Gas Bocor, Tujuh Pelajar Dikejarkan Ke Hospital

SHAH ALAM – Tujuh pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Klang bersebelahan kilang ais yang mengalami kebocoran gas ammonia dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit tekak dan sesak nafas pagi Khamis.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata empat daripada pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, manakala bakinya dihantar ke Hospital Shah Alam.

“Kesemua mereka kini berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama di Shah Alam.

Berikutan kejadian itu, sesi persekolahan di sekolah itu terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Lin Peck Poh berkata beliau mengesyaki berlaku kebocoran gas berbahaya berkenaan pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan mengarahkan semua pelajar dan guru supaya pulang kerana risaukan keselamatan mereka.

“Masa itu ada bau sangat kuat macam hari Isnin lepas, untuk keselamatan saya suruh pelajar yang mempunyai kenderaan sendiri untuk pulang dan mana yang tiada kenderaan kita bawa mereka ke sebuah restoran makanan segera di kawasan ini untuk menunggu ibu bapa mereka datang ambil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian pada Isnin lepas, dua pekerja warga asing kilang berkenaan maut manakala 18 yang lain dimasukkan ke hospital selepas terhidu gas ammonia. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.