Rafizi Dakwa Miliki Dokumen Bayaran Meragukan RM800,000 Pegawai Kanan Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi PKR Rafizi Ramli semalam mendakwa beliau mempunyai dokumen mengesahkan bayaran meragukan berjumlah RM800,000 oleh seorang Pegawai Kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan Rafizi berkata, dokumen tersebut mengesahkan bahawa status muflis orang kuat Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu diselesaikan dalam tempoh dua hari.

Menurut Rafizi, dokumen-dokumen tersebut menunjukkan bahawa empat bayaran yang meragukan masing-masing berjumlah RM318,525, RM100,000, RM300,000 dan RM100,800 dibuat dalam tempoh dua hari iaitu pada 30 Mei dan 31 Mei lalu.

“Alasan yang sampai kepada saya ialah wang ini hasil dari ‘crowd funding’ atau biaya ramai yang diusahakan untuk melepaskan pegawai tersebut dari status muflis.

“Saya sukar menerima alasan ini kerana saya juga tahu seorang lagi pimpinan Amanah iaitu Mazlan Aliman masih belum berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membayar saman ke atasnya, sedangkan saudara Mazlan lebih dikenali dari pembantu Mohamad Sabu ini,” kata Rafizi.

Media kelmarin melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang pegawai kanan Mohamad.

Ini susulan dakwaan dia menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan hutangnya dan dikeluarkan daripada status muflis.

Pegawai tersebut diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu.

Status itu kekal sehingga penghujung Mei lalu, apabila beberapa bayaran dikatakan dimasukkan ke dalam akaun jabatan itu oleh beberapa pihak untuk penyelesaian hutang pegawai tersebut. – UTUSAN

One thought on “Rafizi Dakwa Miliki Dokumen Bayaran Meragukan RM800,000 Pegawai Kanan Mat Sabu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.