Pahang Seri, JDT Tumbang, Perebutan Trofi Liga Super Kian Menarik

KUALA LUMPUR – Perebutan kejuaraan trofi Liga Super 2015 kian menarik apabila Pahang kembali merampas kedudukan pendahulu daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir perlawanan ke-20 liga, malam tadi.

 

Begitupun, kedua-dua pasukan di kedudukan teratas liga itu menerima nasib berbeza dengan Pahang sekadar seri 1-1 menentang Perak manakala JDT kecundang 4-1 bertemu Kelantan.

 

Pada aksi di Stadium Sultan Muhamad ke-IV di Kota Bharu, Kelantan tidak mensia-siakan aksi di laman sendiri untuk membenam JDT dengan gol pembukaan dijaringkan seawal minit keempat menerusi pemain import, Gilmar.

 

Kelantan tambah selesa apabila kapten, Mohd Badri Radzi meledak gol kedua pada minit ke-13 sebelum Mahali Jasuli merapatkan kedudukan pada minit ke-51 buat JDT namun ia hanya bertahan seminit selepas Mohd Norfarhan meledakkan gol ketiga tuan rumah.

 

Gilmar kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Kelantan dengan gol pada minit ke-83.

 

Di Stadium Perak, Ipoh, Pahang terlepas peluang untuk mencatat kemenangan sekalipun terlebih dulu merobek gawang lawan pada babak pertama selepas tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua.

 

Hafiz Kamal meletakkan Pahang di depan pada minit ke-31 namun jaringan Bobby Gonzalez pada minit ke-79 menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

 

Dalam pada itu, perebutan di kelompok pertengahan liga juga bertambah sengit apabila FELDA United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Terengganu menerusi jaringan tunggal Ndumba Makeche pada minit ke-59.

 

Di Stadium Jalan Besar, hasrat Lions XII untuk mengumpul tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian selepas sekadar seri 1-1 dengan Selangor.

 

Dikuatkan kembali dengan kehadiran semula Mohd Khairul Amri Kamal, Lions XII begitupun hampir dikejutkan sebelum berjaya bangkit di saat akhir.

 

Selangor terlebih dulu di depan pada minit ke-59 menerusi jaringan Mohd Afiq Azmi yang bertindak menanduk bola hantaran cantik menewaskan penjaga gol Lions XII, Mohd Izwan Mahbud.

 

Lions XII begitupun menyamakan kedudukan menerusi Mohd Khairul Nizam Kamal ketika permainan berbaki tiga minit untuk keputusan seri 1-1.

 

Dalam pada itu, peluang ATM untuk kekal di Liga Super makin sukar apabila mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sarawak.

 

ATM ketika ini mengumpul 11 mata di kedudukan kedua tercorot liga manakala Sarawak di tempat ketiga tercorot dengan 16 mata. Pasukan tercorot liga, Sime Darby dalam pada itu berjaya mencuri satu mata daripada PDRM selepas perlawanan berakhir 1-1. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.