Meninggal Dunia 
Di Atas Kubur Isteri

RAUB –  Seorang bekas pengurus bank yang sedang membersihkan kubur arwah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Rotan Tunggal di sini, menemui ajal selepas dihempap pokok tumbang.

 

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam ketika mangsa, Zulkifli Md. Taha, 66, sedang menguruskan proses menggali kubur untuk pengebumian anak saudaranya yang meninggal dunia di Kuala Lumpur.

 

Difahamkan, ketika menunggu proses menggali dan ketibaan jenazah, mangsa mengambil ke­sempatan membersihkan kubur arwah isterinya yang terletak bersebelahan sebelum dihempap pokok tersebut yang tumbang akibat angin kencang.

 

Mangsa menghembuskan nafas terakhir di atas kubur berkenaan dan dikebumikan satu liang lahad bersama jenazah anak saudaranya.

 

Sepupu mangsa, Abd. Razak Mat berkata, ketika meluangkan masa membersihkan kubur isterinya yang meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, angin kuat dan hujan lebat melanda secara tiba-tiba menyebabkan sebatang pokok setinggi kira-kira 50 meter tumbang ke arah mangsa.

 

“Saya amat terkejut kerana semasa kejadian mangsa kelihatan begitu ceria malah bersungguh-sungguh membersihkan keseluruhan kawasan tanah perkuburan berkenaan sementara yang lain menggali kubur,” katanya yang juga Ketua Kampung Melayu Sempalit, di sini hari ini.

 

Abd. Razak berkata, dia tidak menyangka pokok yang condong ke arah bertentangan itu akan tumbang ke arah kubur berkenaan.

 

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

 

Katanya, kejadian tersebut turut menyebabkan seorang lagi rakan mangsa, Shamenanan Itam, 56, cedera di bahagian belakang badan dan dia kini dirawat di Hospital Raub. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.