Kubu Mat Kilau Jadi Bahan Peringatan

Dungun – Kerajaan Terengganu sedang berusaha memperkenalkan kembali Kubu Mat Kilau di Hulu Dungun tidak saja sebagai daya tarikan pelancong tetapi juga bahan peringatan sejarah perjuangan bangsa menentang penjajah British pada lewat 1890an.

 

Pengerusi Terengganu Nature Tourist Guide Association (Tenaga), Mohd Zahari Jannah berkata, “kita berusaha perkenalkan kubu Mat Kilau ini kepada orang ramai supaya mereka tahu dan dapat kenal tempat bersejarah ini.

 

“Kubu ini menjadi tempat perlindungan dan pertahanan Mat Kilau dan beberapa pejuang lain semasa menentang penjajah.

 

“Kubu yang bersaiz 14.6 meter lebar dan 17.2 meter panjang ini dah wujud sejak tahun 1890 tetapi ianya kurang diketahui ramai, kerajaan negeri mengambil inisiatif ini untuk perkenal (kembali) kepada ramai,” katanya.

 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Merasmikan Penutupan Program “Terengganu Mat Kilau Trail Exploration 2015” yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud.

 

Lebih 50 pelajar Institusi Pengajian Tinggi, agensi pelancongan dan pengamal media Terengganu menyertai program itu yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu di Kampung Pasir Raja di sini.

 

Program julung kali diadakan itu anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan diselaraskan oleh Tenaga. Mohd Zahari berkata program tersebut diadakan sempena bulan kemerdekaan bagi memperingati sejarah perjuangan Mat Kilau yang merupakan pejuang Melayu menentang cengkaman British.

 

Sementara itu Roslee yang juga Adun Bukit Besi berkata, pihaknya berharap program tersebut dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri.

 

“Di Hulu Dungun ini kita banyak tempat yang boleh menarik pelancong seperti Air Terjun Cemerong, Gunung Berembun, Pokok Chengal Besar dan kubu Mat Kilau,” katanya.

 

Salah seorang peserta, Hidayah Ibrahim, 33, berkata program tersebut meninggalkan kenangan manis baginya yang pertama kali menjejak kaki ke tempat bersejarah itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.