Kerana Tiket Komuter RM2, Ezzaty Dibalas RM300

Kuala Lumpur – Seorang gadis yang dikenali Ezzaty Amin berkongsi kisah yang menarik perhatian pengguna media sosial mengenai pertolongannya sebanyak RM2, akhirnya dia dibalas RM300 oleh seorang lelaki warga emas, semalam.

 

Kisah yang dikongsi dalam laman Facebooknya sehingga kini dikongsi hampir 12,000 kali dan mendapat lebih 44,000 ‘likes’.

 

Dia berkongsi cerita perjalanannya ketika menaiki komuter dari Batu Caves ke Shah Alam di mana dia bertemu seorang lelaki berusia yang dipanggil pak cik ketika beratur untuk membeli tiket.

 

Pada waktu itu, gadis itu terdetik untuk ‘membelanja’ pak cik berkenaan setelah mendapati lokasi yang dituju mereka sama.

 

“Saya beli satu tiket dewasa dan satu tiket warga emas (kerana beliau berusia 68 tahun). Dia tergamam, dan saya pun berkata, ‘It’s okay pakcik, saya belanja.’

 

“Sepanjang perjalanan, kami berbual-bual dan pakcik berikan saya kad bisnes beliau. Saya tak berikan perhatian sangat dan terus menyimpannya ke dalam dompet. Kami berborak tentang keluarga, karier, pakcik beritahu dia adalah seorang mualaf dari Sabah, dan meminta saya tasmi’ bacaannya, Surah Luqman ayat 1-15,” katanya.

 

Ceritanya lagi, pak cik tersebut kemudian ada meminta untuk melihat buku yang dibawanya berjudul Langit Illahi karya Hilal Asyraf sebelum mereka berpisah.

 

“Setelah kami sampai ke destinasi kami, pakcik ini berkata, ‘Jadi orang baik, ikhlas, pak cik akan doakan kamu di Mekah,’ (dia akan terbang untuk menjalani ibadah haji Ahad ini),” katanya lagi.

 

Setelah tiba di rumah, katanya, dia menyedari terdapat RM300 di dalam bukunya.

 

“Apabila saya lihat semula pada kad bisnes pak cik, rupa-rupanya beliau adalah seorang Kapten dan Pengarah Projek untuk Syarikat Kejuruteraan Marin dan Dredging.

 

“Tuhan telah berjanji, kita tidak akan menjadi miskin dengan memberi sedikit dari harta kita untuk kebajikan.

 

“Semoga Allah membimbing kita semua,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.