Hapuskan Sindrom Mantan Pemimpin Kecil Hati

Jempol – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sindrom ‘mantan pemimpin kecik hati’ dalam parti perlu dihapuskan demi kesinambungan parti dan kekal relevan kepada rakyat dan negara.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting, anggota Umno termasuk bekas pemimpin yang tidak lagi dalam barisan kepimpinan parti, perlu memberi sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan baharu tanpa berbelah-bahagi.

 

“Jangan makan hati. Dalam kitaran hidup politik, ada turun naik. Saya juga ingatkan diri saya, apabila tiba masa dan ditakdirkan kita turun, kita perlu turun. Jangan asyik kecik hati sahaja.

 

“Bila kita jadi mantan, kita merasakan ‘I’m the best, the rest is below the par (saya yang terbaik, lainnya tidak mencapai tahap itu). Sindrom ini perlu dihapuskan,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jempol di sini hari ini.

 

Ahmad Zahid turut berkata kegagalan Umno dan BN menakluk Selangor pada pilihan raya umum (PRU) lepas adalah antara contoh sindrom ‘mantan pemimpin kecik hati’ dan tidak menerima kepimpinan parti yang baharu sehingga menjejaskan usaha meraih sokongan dan kepercayaan rakyat.

 

“Kenapa Umno kalah di Selangor? Adakah kerana pembangkang kuat? Tidak, mereka tidak sekuat mana tapi kita berpecah, berperang sesama sendiri. Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian tidak sebulu.

 

“Ketika pemilihan, pilihlah secara demokratik. Jika sudah menang, ahli patut bagi sokongan,” tambahnya.

 

Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin Umno yang dilantik dan berjawatan supaya prihatin dan menjalankan tanggungjawab yang diberi bukan secara bermusim atau sewaktu pemilihan atau pertandingan sahaja.

 

“Tidak ada yang di atas ini (pemimpin) jika tiada sokongan dari akar umbi. Janganlah bangga diri dan takbur kerana jawatan itu sementara,” katanya.

 

Tegasnya, apabila pemimpin tidak peduli pada orang bawah, maka “tunggu satu masa orang bawah tidak ambil peduli pada kita”. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!