Buang Semangat Jebat, Contohi Tuah

Shah Alam – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan mengingatkan ahli Umno agar tidak bertindak seperti Hang Jebat, seorang pahlawan Melayu yang sanggup menderhaka, dalam keadaan parti yang sedang dihimpit pelbagai cabaran daripada setiap sudut.

 

Sebaliknya kata beliau ahli Umno perlu memupuk semangat Hang Tuah yang setia dan ikhlas dalam mempertahankan pemimpin dan parti.

 

“Kita tidak perlu ada Jebat (semangat menentang) dalam Umno. Apa yang kita mahukan adalah semangat Hang Tuah yang setia kepada parti dan pemimpin.

 

“Dalam keadaan sekarang, lebih baik kita baik pulih parti dan bekerjasama mengembalikan keyakinan pengundi kepada parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Shah Alam, semalam.

 

Turut hadir Ketua Umno Bahagian, Datuk Azhari Shaari dan Ketua Wanita Bahagian, Jumaeah Masdi.

 

Sohaimi berkata, langkah itu penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno terutama di saat senario politik negara dan keadaan parti yang begitu mencabar.

 

“Mana-mana parti politik di dunia ini berdepan dengan masalah dan ia adalah perkara biasa. Kita jangan jadi tukang tekan butang panik, jangan kita menyumbang kepada keadaan panik seolah-olah parti akan runtuh,” katanya.

 

Menurutnya, mesyuarat perwakilan Umno merupakan platform penting untuk ahli parti menyuarakan pandangan masing-masing bagi memperkukuhkan parti.

 

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menjadikan persidangan sebagai medan untuk mendapatkan input dan informasi bagi memperkukuhkan parti,” ujarnya.

 

Beliau juga mengharapkan agar pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian menjadi ejen di peringkat akar umbi untuk menarik lebih ramai golongan atas pagar agar menyokong, sekaligus menyertai Umno.

 

“Kalau kita sebagai ahli parti pun tidak jelas dan goyang, apa lagi orang luar sana yang tidak berparti. Kita akui memang kita berhadapan dengan masalah keyakinan rakyat terhadap Umno, tetapi ia masih dalam keadaan terkawal.

 

“Kita ada masa untuk memperbaikinya,” katanya. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.