Bekas Polis Berpangkat Datuk Acu Pistol, Belasah Pelajar Di Shah Alam

Shah Alam – Gambar dua pelajar dikatakan dibelasah selain diacukan pistol oleh seorang bekas pegawai polis berpangkat datuk menjadi viral di laman sosial sejak Jumaat lalu.

 

Berdasarkan gambar yang disebarkan di laman sosial Facebook, kejadian dikatakan berlaku di kawasan perumahan di Seksyen 7, di sini.

 

Kedua pelajar itu dikatakan mahu mengulang kaji pelajaran bersama rakannya yang tinggal di rumah itu, malangnya mereka dituduh menceroboh.

 

Kedua pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia itu hanya membawa beg sekolah, memakai pakaian seragam sekolah dan sebenarnya berada di luar kawasan rumah tersebut.

 

Datuk berkenaan dikatakan mengacukan pistol. Kedua pelajar itu pula mengangkat tangan tanda menyerah, namun datuk tersebut terus mengacukan pictol dalam jarak 30 sentimeter sebelum melepaskan satu das tembakan ke udara.

 

Pelajar itu juga dikatakan dipijak di bahagian kepala sehingga mendatangkan kecederaan sebelum tangan digari dan dibawa ke balai polis.

 

Namun, sebaik melihat pada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) pemilik rumah mendapati terdapat dua individu masuk ke rumahnya dan terus menghubungi datuk berkenaan kerana mengesyaki rumahnya dimasuki penjenayah.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan, pihaknya ada menerima tiga laporan berkaitan kejadian tersebut.

 

“Tiga laporan diterima termasuk daripada individu bergelar datuk dan kedua pelajar itu. Kedua pelajar itu juga ditahan bagi membantu siasatan namun dilepaskan dengan jaminan polis.

 

“Satu sidang media khas akan diadakan esok berkenaan kejadian itu,” katanya.

 

Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk ke sebuah rumah  dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

 

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.