2 Objek Kecil Ditemui Dalam Pencarian MH370 – Liow

Kuala Lumpur – Usaha akan dilakukan untuk memastikan sama ada 2 objek kecil yang ditemui di Pulau Maldives pada Jumaat merupakan serpihan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang.

 

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 2 objek kecil bersaiz tapak tangan itu dibawa pulang ke Malaysia semalam oleh pasukan penyiasat.

 

“Objek itu dibawa pulang dan pasukan penyiasat akan menentukan dalam masa terdekat sama ada ia adalah serpihan pesawat MH370,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan tahunan Wanita MCA Selangor ke-40 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

 

Beliau berkata misi pencarian MH370 membabitkan 3 negara – Malaysia, Australia dan China akan diteruskan di dasar Lautan Hindi dan antara perkara utama yang harus dilakukan sekarang adalah untuk mencari kotak hitam dan bangkai pesawat itu.

 

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 6 Ogos lepas mengumumkan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan sayap yang dijumpai di Pulau Reunion sebelum ini adalah daripada MH370.

 

Ia menyokong rumusan awal pesawat Malaysia Airlines itu terhempas ke dalam Lautan Hindi.

 

Liow seterusnya berkata mesyuarat antara Malaysia, China dan Australia bagi menentukan semula kawasan pencarian pesawat MH370 dijangka berlangsung awal September.

 

Buat masa ini, beliau berkata kementerian masih menunggu keputusan analisis yang dilakukan pasukan pakar termasuk Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), agensi yang mengetuai pencarian MH370 di Lautan Hindi.

 

Sementara itu, Liow yang juga presiden MCA berkata pihaknya menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang diumumkan Najib baru-baru ini.

 

Beliau berharap ia menjurus kepada parti politik meningkatkan ciri pentadbiran dan transparensi dalam menguruskan pembiayaan politik.

 

“MCA sendiri sudah lama mengamalkan konsep ini,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.