Video: Dr Asri Tidak Setuju Wan Azizah Dilantik Sebagai MB Selangor

Kuala Lumpur – Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata, beliau mempunyai sebab lain untuk tidak menyokong pencalonan PKR untuk melantik presien parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor.

“Saya tidak pernah kata setuju Dr Wan Azizah jadi menteri besar Selangor. Ada beberapa sebab lain untuk beliau tidak menjadi pilihan.

“Namun saya tidak setuju tafsiran sesetengah ustaz bahawa wanita tidak boleh menjadi MB menurut Islam, bahkan mereka kata dalam semua urusan.

“Walaupun lelaki lebih afdal atas beberapa keadaan, namun mengharamkan wanita memegang jawatan menteri besar perlu dinilai semua,” katanya dilaman Facebook beliau semalam.

Hadis Rasulullah yang menyelar kaum wanita untuk diangkat sebagai pemimpin perlu dilihat dalam konteks yang sebenarnya dan tidak boleh disandarkan secara umum, kata beliau.

Bekas mufti Perlis itu berkata pandangan sesetengah ulama (PAS) yang merujuk hadis “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita mengurus urusan mereka” secara umum akan memberi sekatan kepada wanita terlibat dalam kepimpinan organisasi secara keseluruhannya.

Asri berkata hadis yang dijadikan hujah itu mempunyai teks dan konteksnya yang tersendiri iaitu isu anak perempuan Kisra Parsi yang menjadi maharani.

Katanya, Abu Bakrah juga menggunakan hadis ini untuk menolak kepimpinan isteri Rasulullah, Siti Aishah dalam isu membantah pembunuh Uthman Al-Affan di zaman pemerintahan khalifah Ali Ibni Abi Talib.

“Jika hadis ini dianggap terpakai secara umumnya, wanita bukan sahaja tidak boleh jadi MB, bahkan pengetua, ketua pejabat, pengarah, exco, senator, menteri dan seumpamanya juga tidak boleh.

“Al-Quran dalam surah Al-Naml dalam penceritaannya memuji Ratu Saba atau dalam riwayat Yahudi dengan nama Balqis.

“Kebijaksanaannya mengatasi menteri lelaki kabinet kerajaannya. Hasil kebijaksanaan itu membawanya beriman bersama Nabi Sulaiman. Ia bukti kejayaan wanita,” katanya.

Asri berkata Umar Al-Khattab juga pernah melantik Syifa binti Abdillah sebagai menteri yang mengurus pasar di zamannya.

“Banyak juga wanita dalam dunia ini menjadi pemimpin lebih baik dari sebahagian lelaki,” katanya menguatkan lagi hujahnya.

 Dalam perkembangan yang sama Asri turut menasihati seorang ‘ahli politik’ daripada pembangkang agar bersara daripada persada politik.

Asri berkata, suasana kelam-kabut serta kucar-kacir yang berlaku di negeri Selangor sekarang berpunca daripadanya kerana ahli politik tersebut dilihat hanya mementingkan kehendaknya sahaja.

“Demi kehendak seseorang, satu negeri jadi kelam-kabut dan hiruk-pikuk.. cukuplah.. berehatlah daripada politik,” tulisnya di laman sosial Facebook miliknya.

Tulisan Asri ini berkemungkinan merujuk kepada orang kuat daripada PKR, yang merencanakan pertukaran jawatan menteri besar Selangor.

Namun, rencana tersebut terhenti di tengah jalan sehingga menyebabkan suasana politik di negeri Selangor kini menjadi kelam-kabut.

Namun oleh kerana Asri tidak menyatakan dengan jelas individu yang dimaksudkan, pengikut beliau tertanya-tanya sama ada beliau menujukan kenyataan itu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Asri Politik bersara

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Perkembangan terbaru politik di Selangor menyaksikan Abdul Khalid Ibrahim masih memegang jawatan sebagai menteri besar, namun nasibnya mungkin diputuskan pada 17 Ogos ini menerusi hasil mesyuarat Pas Pusat.

Kata putus daripada Pas itu nanti, berkemungkinan menyaksikan sedikit sebanyak perubahan yang akan berlaku di Selangor.

Sama-sama kita nantikan!

 

Berikut adalah kenyataan penuh Asri berhubung isu tersebut:


PEREMPUAN JADI PEMIMPIN

Saya tidak pernah kata setuju YB Wan Azizah jadi MB Selangor. Ada BEBERAPA sebab lain untuk beliau TIDAK menjadi pilihan.

Namun saya tidak setuju tafsiran sesetengah ustaz bahawa wanita tidak boleh jadi MB menurut Islam.Bahkan mereka kata dalam semua urusan.

Walaupun lelaki lebih afdal atas beberapa keadaan, namun mengharamkan wanita memegang jawatan menteri perlu dinilai semua.

Alasan mereka yang melarang ialah hadis Abu Bakrah:
لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً
“Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita mengurus urusan mereka” (Riwayat al-Bukhari dll)

Pertama: Hadis ini mempunyai sabab wurud (text and context) yang tersendiri seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari iaitu isu anak perempuan Kisra Parsi yang menjadi maharani. Maka hadis berkaitan dengannya.

Kedua: Rawi sahabi iaitu Abu Bakrah menggunakan hadis ini untuk menolak kepimpanan Aishah dalam isu membantah pembunuh Uthman di zaman pemerintahan ‘Ali sedangkan sahabat yang lain yang lebih besar seperti Talhah bin Ubaidillah, al-Zubair Ibn al-‘Awwam (keduanya antara sepuluh yang dijamin syurga) dan lain-lain tetap bersama ‘Aishah dan tidak menjadikan hadis ini alasan. ‘Ali juga tidak menggunakan hadis ini sebagai hujah beliau.

Ketiga: Jika hadis ini dianggap terpakai secara umumnya, wanita bukan sahaja tidak boleh jadi MB, bahkan pengetua, ketua pejabat, pengarah, exco, senator, menteri dan seumpamanya juga tidak boleh.

Keempat: Al-Quran dalam Surah al-Naml dalam penceritaannya memuji Ratu Saba yang disebut dalam riwayat yahudi ataupun israiliyyat dengan nama Balqis. Kebijaksanaannya mengatasi menteri-menteri lelaki kabinet kerajaannya. Hasil kebijaksanaan itu membawanya beriman bersama Nabi Sulaiman a.s. Ia bukti kejayaan wanita.

Kelima: Walaupun ada perbincangan sanad (yang ada), namun para ulama besar dan banyak kitab-kitab tarajum sepanjang sejarah meriwayat athar bahawa ‘Umar bin al-Khattab telah melantik Syifa binti ‘Abdillah sebagai menteri yang mengurus pasar di zamannya.

Keenam: Banyak juga wanita dalam dunia ini menjadi pemimpin lebih baik dari sebahagian lelaki.

One thought on “Video: Dr Asri Tidak Setuju Wan Azizah Dilantik Sebagai MB Selangor

  • August 17, 2014 at 1:27 am
    Permalink

    Untuk kadang2 kalinya, kali ini saya bersetuju dgn hujah Dr Asri yg bersandar kpd kajian yang cukup teliti. Kita ada wanita mengetuai bank negara. Kita ada Menteri wanita di kementerian terpenting. Kalaupun hendak menyekat seseorang wanita menjadi MB, seharusnya tidak mengambil hadis yg sebarangan tanpa teliti. Bukan kerana jantina maka perlantikannya harus ditolak.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.