Khalid Muncul Tiba-Tiba Untuk Solat

Meru – Orang ramai yang bersolat Jumaat di Masjid As-Sharif, Meru semalam terkejut apabila melihat menteri besar mereka yang sedang dalam krisis, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiba-tiba muncul solat Jumaat di masjid mereka.

Ini kerana tidak ada sebarang makluman tentang kedatangan menteri besar yang sedang bergelut itu.

Khalid tiba menjelang solat Jumaat ketika Adun Meru, Dr Rani Othman sedang memberikan tazkirah menjelang solat Jumaat.

Dalam tazkirah itu, Dr Rani mengingatkan diri beliau dan orang ramai bahawa setiap manusia membuat kesilapan dan perlu menginsafinya.

 

“Hanya nabi sahaja yang maksum dan tidak berbuat dosa. Oleh itu kita semua perlu selalu sedar dan mohon ampun dari Allah kerana di akhirat nanti Allah akan membalas segala perbuatan kita jika tidak bertaubat,” kata Dr Rani dalam tazkirah itu.

Selain tazkirah, Dr Rani juga memberikan khutbah dan juga mengimamkan solat Jumaat itu.

Selepas solat dan bersalam dengan orang ramai, Khalid kelihatan berbincang dengan dengan Dr Rani, bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Namun sehingga kini tidak diketahui apa yang dibincangkan antara mereka.

Namun di luar bangunan masjid kelihatan van RTM berada dan gambar mereka berdua keluar dari masjid bersama dirakamkan oleh jurukamera.

Dr Rani adalah pesuruhjaya PAS Selangor yang berjaya membawa kejayaan paling cemerlang yang pernah dicapai oleh PAS negeri itu apabila menang 15 kerusi Dewan Negeri dan 4 kerusi Parlimen di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas.

Namun Dr Rani tidak mahu lagi dilantik sebagai pesuruhjaya selepas muktamar PAS tahun lepas dengan menghantar surat kepada presiden PAS, “Sila berikan sebab mengapa saya perlu dilantik semula sebagai pesuruhjaya.”

Ekoran itu, Iskandar Samad dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor mulai tahun lepas.

Khalid kini dipecat sebagai ahli PKR setelah beliau tidak mahu meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun diputuskan oleh partinya agar berbuat demikian untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dilantik sebagai menteri besar yang baru.

Dua hari lepas, dua Adun PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Adun Morib) berpecah dari kumpulan Adun PAS yang lain dan menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Ini menyebabkan Khalid hilang harapan untuk kekal sebagai menteri besar kerana beliau kini hilang peluang untuk mendapat jumlah yang diperlukan bagi membentuk sokongan majoriti dalam Dewan Negeri.

Ini ekoran dari tinggal hanya 12 Adun Umno dan 13 Adun PAS sahaja yang menjadikan jumlahnya 26 termasuk beliau berbanding 29 diperlukan untuk majoriti mudah dalan Dewan yang mempunyai 56 anggota itu.

Harapan Khalid ini berdasarkan sokongan pimpinan PAS terhadap Khalid sebelum beliau dipecat sebagai ahli PKR dan janji sokongan Adun Umno yang dibuat timbalan presidennnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PAS akan membuat pendirian dalam isu ini dalam mesyuarat mereka esok, namun dari awal lagi pimpinan PAS menegaskan mereka akan kekal bersama Pakatan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.