Kami Benar-Benar Harap Malaysia Sokong Palestin

Walaupun baru empat bulan bertugas di sini, ternyata Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar H Al Agha sudah dapat menjiwai sokongan besar rakyat Malaysia terhadap perjuangan di Palestin, seperti yang pernah dirasai duta sebelumnya.

Keadaan ini menjadikan tugasnya sebagai duta lebih mudah kerana perjuangan rakyat Palestin memerlukan sokongan daripada semua pihak. Sejak lebih 66 tahun sejak tentera rejim Zionis menceroboh dan menyerang Palestin, rakyat di negara berkenaan kini terus berada dalam keadaan terdesak dan tertekan.

Suara daripada masyarakat antarabangsa ini adalah penting walaupun hasil sebenarnya terletak di tangan kuasa besar yang sentiasa bersikap berdolak-dalik.

“Kami lihat Malaysia sebagai negara persaudaraan yang berpegang pada pendirian teguh dalam perjuangan di Palestin.

“Malaysia begitu yakin dengan perjuangan di Palestin dan harus diberikan hak untuk dibebaskan daripada ancaman Israel,” katanya.

Dr Anwar sudah beberapa kali menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di mana beliau merakamkan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin. Malah, Najib juga membuat panggilan telefon kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa yang sedang berlaku di Gaza serta bagi merakamkan komitmen serta sokongan Malaysia.

 

Presiden Palestin hubungi Najib

Kemudian apabila Malaysia pula ditimpa masalah seperti yang berlaku dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 baru-baru ini, Presiden Palestin itu pula menghubungi Najib untuk bertanya khabar mengenai kejadian itu di samping menyampaikan ucapan takziahnya.

“Ia adalah manifestasi yang membuktikan wujud jalinan persefahaman dan hubungan persahabatan di antara kedua-dua negara, ” katanya.

Tegasnya, oleh kerana Palestin begitu dekat di hati rakyat Malaysia, maka Najib juga mengarahkan supaya satu delegasi besar Malaysia dihantar untuk memberi sokongan dan bantuan kepada Palestin diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Delegasi ini merangkumi 40 doktor, wakil media dan pegawai dihantar untuk memberi bantuan kepada rakyat Palestin (kumpulan ini berlepas ke Mesir untuk ke Gaza pada 12 Ogos lalu) dengan diiringi Dr Anwar.

“Kami akan meninjau keadaan di sekitar bandar raya Gaza, menemui orang ramai, mangsa cedera dan melawat kawasan yang musnah sama sekali akibat kekejaman serangan Israel yang menceroboh bumi Palestin.

“Kami sentiasa berharap saudara dan rakan kami di Malaysia akan terus memberi sokongan sehingga kami mempunyai negara sendiri. Saya ingin menegaskan mengenai keperluan memperoleh sokongan Malaysia.

 

Harap sokongan Malaysia

“Kami benar-benar mengharapkan sokongan daripada Malaysia untuk menyokong Palestin bukan sahaja menerusi kerajaan dan NGO di sini tetapi juga melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), PBB dan pertubuhan antarabangsa lain,” kata duta Palestin itu.

Malaysia adalah satu daripada tiga negara yang dipertanggungjawabkan selaku anggota Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat tindakan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diceroboh. Selain Malaysia, Jawatankuasa khas PBB itu dianggotai Sri Lanka dan Senegal.

Beliau berharap Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur dapat memainkan peranan lebih efektif sebagai penghubung di antara Malaysia dengan Kerajaan Perpaduan di Palestin.

“Bukan itu sahaja, kami juga berharap dapat menjadi pusat di mana bantuan boleh disampaikan terus kepada rakyat Palestin yang menderita khususnya di Gaza,” tambah beliau.

Dr Anwar berkata Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan hasil kerjasama pergerakan Hamas dan Fatah kini mempunyai akaunnya sendiri bagi menerima sumbangan daripada masyarakat antarabangsa.

“Pihak kedutaan boleh menyalurkan terus sumbangan ini ke dalam akaun berkenaan,” kata beliau.

Menceritakan mengenai penderitaan penduduk Gaza, Dr Anwar yang mempunyai 19 anggota keluarga maut termasuk 14 orang daripada sebuah rumah dalam serangan Israel dalam keganasan sejak 8 Julai lalu berkata:

“Penduduk Gaza tidak boleh bergerak bebas, tidak ada bekalan elektrik, tidak ada bekalan air, kanak-kanak dan pelajar tidak boleh ke sekolah dan universiti seperti biasa dan orang ramai tidak boleh ke pasar.

 

Kehidupan bertambah sukar

“Kehidupan mereka menjadi bertambah sukar. Sejak minggu lalu, sudah ada beberapa gencatan senjata yang membolehkan orang ramai kembali ke rumah dan keluarga masing-masing.

“Kami berharap gencatan senjata sementara itu dapat dikekalkan agar kami keadaan menjadi lebih baik. Bayangkan 1.8 juta orang hidup di kawasan yang hanya sebesar 360 kilometer persegi. Justeru, sempadan dengan Mesir perlu dibuka sepanjang 24 jam.”

Dr Anwar dilantik sebagai wakil Kerajaan Perpaduan Palestin bagi menggantikan Abdelaziz Abughoush empat bulan lalu. Berasal dari bandaraya Khan Yuonis di Semenanjung Gaza, beliau berkelulusan Sarjana Kedoktoran dalam Pengurusan Pendidikan dan Sarjana Sastera Pendidikan. Selain berpengalaman sebagai pensyarah beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Media dan Perhubungan Awam di Kementerian Perumahan Pihak Berkuasa Palestin. Sebelum menjadi duta ke Malaysia, beliau berkhidmat di Sri Lanka dan Maldives.

Apa yang menarik mengenai beliau ialah walaupun tugas asasinya sebagai wakil rasmi ke Malaysia, Duta Palestin itu sering dijemput untuk menjadi muazin pada beberapa majlis dan masjid di sekitar Kuala Lumpur.

Bermula dengan Majlis Iftar Perdana Menteri, di Putrajaya pada 23 Julai lalu, beberapa pihak lain termasuk menteri turut menjemputnya untuk menyampaikan azan ketika masuk waktu solat.

Katanya, beliau sendiri pun tidak memahami kenapa beliau sering diminta menyampaikan azan, tetapi percaya ia membolehkan dirinya sebagai wakil Palestin lebih mudah dikenali.

“Mungkin selepas mendengar azan saya di kediaman rasmi Perdana Menteri pada Ramadan lalu, hadirin lain pula ingin mengambil kesempatan untuk meminta saya melakukannya pada majlis mereka.

“Mungkin juga dengan cara ini mereka dapat memperkenalkan wakil Palestin pada majlis yang dianjurkan,” katanya.

Sebagai memenuhi permintaan penulis, temu ramah dengannya Jumaat lalu dimulakan dengan rakaman azan yang boleh disaksikan dalam BH Online.

Antara majlis lain di mana beliau dijemput menjadi muazin termasuk pada waktu solat Jumaat di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu, di rumah terbuka Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri di Hotel Nouvelle, Sungai Besi pada 11 Ogos dan satu lagi majlis ketika beliau mengunjungi Kota Kinabalu, Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.