Judi, Tikam Ekor Jalan Pintas Kaki Judi Buat Duit

Kuala Lumpur – Pernah mengaut sehingga RM300,000 namun ia masih tidak cukup memuaskan hati bagi seorang kaki judi ini untuk berhenti meneruskan kegiatan berkenaan.

    Hanya mahu dikenali sebagai Joe, beliau mengakui membelanjakan hampir RM400 setiap kali berkunjung ke premis perjudian berdekatan.

    “Ya…paling tinggi saya pernah menang ‘first price’ (hadiah pertama) RM300,000..Hari ini saja, saya beli RM400 (nilai judi dibeli), kadang-kadang kena (menang)… ikut nasib juga,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

    Bapa kepada 13 anak yang kini menetap di Ulu Yam itu turut mengakui terpaksa merahsiakan ‘ketagihan’ judi itu daripada diketahui isteri serta anak-anaknya.

    Setiap kali selesai membeli atau menikam nombor ekor, semua ‘bukti’ pembelian katanya hanya akan disimpan di tempat tersembunyi dan yang pasti bukan di rumah.

    Ketika diminta menceritakan permulaan dia terjebak dengan tahi judi, Joe berkata berhutang dengan sindiket haram ‘along’ lima tahun lalu memaksanya mencari inisiatif untuk mendapatkan wang dengan cara pantas.

    “Puncanya (terbabit kepada kancah judi) banyak, daripada pinjam ‘along’ hinggalah berlarutan kepada masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya mengakui gaji yang diperoleh sekitar RM2,500 sebulan masih tidak selesa untuk menampung kos sara hidup.

    Joe juga tidak kisah dengan persepsi buruk masyarakat terhadapnya, malah turut mengakui tidak gentar andai ditahan pihak berkuasa terutama penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

    “(Penguat kuasa agama) serbu tu kadang-kadang ada, tapi pandai-pandailah nak lepaskan diri,” katanya.

    Seorang lagi pelanggan tetap berusia lingkungan awal 30-an dikenali Jefry dari Sarawak berkata, beliau menyedari orang Islam diharamkan membeli dan menikam ekor.

   Mula mencuba tabiat buruk itu atas pengaruh kawan-kawan, beliau turut menyedari ada papan tanda di setiap premis judi menyatakan larangan berkenaan namun mengakui belum pernah ditahan, walaupun ada usaha pihak berkuasa melakukan serbuan.

   “Serbuan itu ada..tapi tidak begitu kerap. Sampai sekarang belum pernah kena (tangkap pihak berkuasa) lagi,” katanya yang kini bekerja di stesen minyak di Sentul setahun lalu. 

   Beliau juga menyedari mudahnya membeli nombor ekor, dengan hanya mengambil masa dua hingga tiga minit di kaunter jualan menyebabkan kerisauan untuk ditahan itu kurang. 

   “Nak beli pun tak lama, kalau tak ramai (pelanggan), terus ke kaunter dalam dua tiga minit dah keluar. Kalau ada pihak berkuasa, masih boleh sedar (kehadiran mereka),” katanya terus bergegas ke tempat motosikalnya yang diletakkan pada jarak 50 meter daripada premis judi itu.

Sementara itu, percubaan wartawan BH Online untuk membeli sendiri nombor ekor di premis judi ternyata mudah malah langsung tidak dihalang oleh ejen penjualnya.

    Mereka juga seakan tidak kisah siapa yang mahu menikam nombor asalkan menghulurkan wang di kaunter dan memberikan nombor yang ingin ditikam.

Penjual tiket langsung tidak bertanya sama ada pelanggan itu seorang Islam walaupun sesetengah pelanggan jelas berwajah dan berperwatakan seorang Islam.

    Wartawan dan juruvideo yang membuat rakaman video tersembunyi juga bebas berlegar dan merakam gelagat pelanggan di dalam premis itu terutama ketika hari membuat ramalan dan membeli nombor yang dikehendaki.

Malah, kami tidak perlu risau atau ketakutan sekiranya ejen penjual atau pemilik premis ekor itu diajukan soalan mengenai tujuan kami ke premis berkenaan.

    Situasi ini membuktikan bahawa operasi dan usaha penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa terutama JAIN masih lemah, menyebabkan kaki judi beragama Islam ini tidak takut untuk mengulangi kegiatan terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.