Hina Sultan Selangor, Perkasa Buat Laporan Polis

Kuala Lumpur – Penolong Setiausaha Kehormat Perkasa Selangor, Mohamed Durrany Izam telah membuat laporan kepada pihak berkuasa ekoran terdapat satu penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, laporan tersebut dilakukan di balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada jam 8.00 malam bertarikh 15 Ogos 2014.

Beliau menjelaskan, pada jam lebih kurang 5.00 petang sewaktu berada di Ibu Pejabat Perkasa Selangor, beliau telah membuka laman sosial Twitter dan didapati pengguna Twitter yang menggunakan ID @hakarim51atau dikenali sebagai Hassan Karim telah memuat naik ‘tweet’ yang telah menghina Sultan.

Hassan Abdul Karim merupakan bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang kini telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hassan telah memuat naik status dengan menyatakan ‘Sultan jenis apa ini? Ketika Selangor dalam krisis serius dia lari keluar negeri’.

Bukan itu sahaja, pengguna Twitter itu juga telah menyatakan bahawa kerajaan Khalid di Selangor sekarang adalah haram, exco pun haram, keputusan mesyuarat pun haram, gaji pun haram dan mempersoalkan sama ada pihak istana menyokong benda haram ataupun tidak.

Bahkan, Hassan turut memuat naik ‘tweet’ yang didapati mempertikaikan tindakan Sultan Selangor yang memihak kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Sultan Selangor perlu belajar dari Sultan Perak yang lalu, Khalid pun begitu, kena baca penghakiman mahkamah persekutuan dalam kes Nizar menentang Zambry,” tulis Hassan di dalam laman Twitter miliknya.

Manakala bagi Durrany, beliau membuat laporan tersebut agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuat siasatan terhadap perkara ini.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan kerana ini satu penghinaan terhadap Sultan Selangor,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.