GST Tidak Akan Memberi Kesan Kepada Harga Zalora

ZALORA Sdn Bhd, peruncit fesyen dalam talian yang didaftarkan di bawah Jade EServices Malaysia Sdn Bhd, akan menanggung kos tambahan produknya selepas pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015.      

Pengarah Urusannya bagi bahagian belian dan pemasaran, Guilio Xiloyannis berkata, GST tidak akan memberi kesan kepada harga barangannya yang dibeli dalam talian.

Xiloyannis berkata, impak cukai baharu itu hanya dirasakan dalam tahun pertama pelaksanaan dan pengguna akhir hanya akan melihat kesan minimum.

“Tahun pertama adalah kritikal. Bagaimanapun, kelaknya pengguna akan dapat membiasakan diri dan ia (cukai itu) akan difahami selepas itu,” katanya kepada Bernama, di Kuala Lumpur, hari ini.

Xiloyannis berkata, sudah sampai masanya bagi Malaysia untuk melaksanakan GST kerana ia merupakan satu perkara baik untuk tempoh jangka panjang.

“GST lebih mudah bagi peruncit kerana ia hanya satu kadar cukai tunggal dan hasil akan lebih stabil,” katanya.

Beliau berkata, Zalora tidak akan mengubah strategi pemasarannya disebabkan oleh GST.

“Kami akan berusaha dengan lebih agresif untuk bersaing (dengan peruncit dalam talian lain) dari segi harga,” katanya.

Zalora, yang diasaskan pada 2012, menawarkan akses ke lebih 500 jenama dan pereka tempatan dan juga antarabangsa di laman webnya, dengan 130,000 produk ditawarkan di seluruh rantau ini. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.