KUALA LUMPUR – Jalan untuk Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi calon Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor mungkin disekat atau namanya akan digugurkan.
Dalam podcast Keluar Sekejap malam tadi Shahril dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sepakat menyatakan hanya Tengku Zafrul sahaja calon Umno yang boleh menang di Selangor.
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan mendakwa, potensi Tengku Zafrul untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor mungkin tidak disenangi banyak pihak termasuk daripada parti Umno sendiri.
“Saya takut mungkin ada usaha untuk halang dia (Tengku Zafrul) bertanding dan kalau itu terjadi saya tak terkejut.
“Dia ada potensi untuk jadi Menteri Besar Umno dan bagi pihak Umno di Selangor mungkin itu tidak menjadi perkara yang selesa. Ini termasuk daripada pihak termasuk dalam Umno sendiri yang mungkin tak berapa nak ke dia.
“Saya boleh bayangkan mungkin ada situasi walaupun dia adalah calon yang boleh menang di kerusi yang boleh menang tetapi mungkin ada risiko dia digugurkan atau dihalang,” jangka Shahril.
Tambah Shahril lagi, meskipun Tengku Zafrul tidak pernah pula berkata beliau menyimpan cita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor namun tidak mustahil ada orang yang takut dengan bayang-bayang sendiri.
“Zafrul pun tak pernah kata un dia nak jadi Menteri Besar Selangor, ada orang takut bayang-bayang.
“Atau mereka boleh letak Zafrul di tempat yang susah nak menang. Orang tak boleh kata kita halang dia tapi kita letak tempat susah dia menang, ini modus operandi,” ramal beliau.
Tambah Khairy pula, meskipun Selangor adalah kuota PH namun jika Zafrul menang beliau boleh diangkat sebagai Menteri Besar.
“Kalau Zafrul menang dia boleh jadi Menteri Besar, dia ada ‘karpet ajaib’.
“Saya rasa Zafrul boleh baca benda itu dan kalau dia nampak bahawa dia dihantar untuk disembelih dia akan buat taktikal lain untuk kekal sebagai senator sekarang,” jangka Khairy.