PKR Kota Raja Desak Tolak Calon Lobi Tanding PRK DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM – PKR Cabang Kota Raja berharap kepemimpinan utama parti tidak memilih calon yang melobi atau dilobi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis bulan hadapan.

Timbalan Wanita PKR cabang itu, S Ruthira berkata, cabang terbabit berharap pucuk pimpinan parti memilih satu dari tiga nama yang sudah dikemukakan mereka.

Katanya, tiga calon yang dikemukakan itu sudah dipersetujui setiap peringkat akar umbi cabang terbabit selain diyakini berkemampuan serta setanding dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu, Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

“Kami sudah serahkan senarai calon yang diyakini mampu melakukan tugas dengan baik dan faham kehendak rakyat di sini.

“Tiga calon nama terbabit adalah mereka yang dipilih sendiri oleh akar umbi dan kami di sini mahu suara kami didengari pucuk pimpinan parti,” katanya.

Ruthira berkata, PKR cabang itu menolak calon yang melobi diri sendiri atau dilobi mana-mana pihak yang bermotifkan kepentingan sendiri.

“Sudah 20 tahun sejak zaman reformasi kami bersusah demi rakyat dan sebab itu kami mahu calon yang dipilih itu nanti faham dengan kehendak rakyat di sini,” katanya.

Semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, faktor kemenangan adalah kriteria utama yang dibuat dalam memilih calon Sungai Kandis.

Katanya, isu calon dari kalangan anak tempatan tidak perlu dimainkan memandangkan PKR kini sebahagian dari parti mentadbir kerajaan persekutuan.

Sementara itu, menurut sumber PKR, calon dari parti itu akan diumumkan Khamis ini. – BH 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.