Penduduk Kampung Balas Dendam, 292 Ekor Buaya Dibunuh

SEJUMLAH 292 ekor buaya peliharaan dibunuh oleh penduduk kampung di Sorong, Papua Barat, Indonesia.

Dalam kejadian petang sabtu, penduduk kampung itu beramai-ramai membunuh buaya di sangkar milik Alberth Siahaan kerana menyebabkan kematian seorang lelaki yang tinggal di kampung tersebut.

Polis tidak dapat mengawal tindakan ratusan penduduk yang bertindak mengamuk dan membunuh buaya-buaya yang dipelihara, termasuk anak buaya.

Difahamkan, pengusaha sangkar sudah melarikan diri ketika kumpulan penduduk tiba di sangkarnya.

Pihak berkuasa berkata pembunuhan beramai-ramai itu adalah tindakan spontan penduduk yang menyerbu sangkar untuk menunjukkan kemarahan mereka.

Menurut laporan CNN Indonesia TV, jumlah haiwan yang mati adalah 292 ekor dan tindakan lanjut akan diambil berhubung kes ini.

Turut dilaporkan, penduduk marah kerana sangkar buaya milik Siahaan berada dekat dengan kawasan kampung.

Selain itu, sangkar buaya dengan ladang pertanian penduduk hanya dihadang dengan pagar zink. Mereka percaya pagar tersebut tidak selamat.

Seorang penduduk yang tinggal di sekitar kawasan sangkar, Enos Barmala menganggap tindakan penduduk kampung itu adalah wajar.

Dia juga kesal kerana sangkar buaya itu terletak dekat dengan kawasan perumahan.

“Kalau boleh binatang begini dipelihara di tempat yang lebih jauhlah dari tempat orang ramai. Di sini ramai yang bertani, ada ternakan. Sebaiknya ditempatkan di tempat yang lebih jauh,” katanya.

Mangsa, Sugito, yang berasal dari Jawa maut digigit buaya ketika mencari rumput untuk haiwan ternakannya pada Rabu.

Dia tidak sedar kegiatannya itu sedang diawasi oleh sepasang mata binatang buas yang mempunyai ukuran lebih besar darinya.

Dia sempat berteriak sambil bergelut mendapatkan bantuan tetapi gagal.

Apabila penduduk kampung tiba di tempat kejadian, Sugito berada dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan gigitan di bahagian tangan, kaki, leher dan kepala. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.