Thailand Hantar Pasukan Penyiasat Ke Malaysia

BANGKOK – THAILAND. Satu pasukan penyiasat Thailand akan ke Malaysia tidak lama lagi bagi menyiasat dengan lebih mendalam ke atas sebuah syarikat Malaysia yang dituduh menjadi ‘sindiket jenayah rentas sempadan’ di negara ini.

Bernama diberitahu bahawa lampu hijau untuk menghantar penyiasat Thai ke Malaysia itu dicapai semasa mesyuarat yang diadakan oleh kedua-dua negara baru-baru ini mengenai kerjasama penguatkuasaan undang-undang anti narkotik di Chiang Rai, utara Thailand, lapor Bernama.

Walaupun kedatangan kumpulan itu khusus untuk menukar maklumat dengan Malaysia mengenai firma terbabit, pasukan penyiasat Thai juga akan menggunakan pertemuan itu untuk membuat susulan terhadap petunjuk baharu yang didakwa menghubungkan syarikat Malaysia itu dengan perdagangan dadah transnasional.

“Mereka akan mencari lebih banyak maklumat mengenai syarikat itu. Mereka akan membincangkan mengenai bukti dan maklumat,” kata sumber peringkat tinggi dalam pasukan penyiasat Thai itu kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pasukan itu akan ke Malaysia seperti yang dijadualkan pada akhir bulan ini.

“Kami ingin tahu sama ada operasi syarikat itu di Thailand dan Malaysia mempunyai kaitan,” kata sumber itu.

Thailand menubuhkan sebuah pasukan pelbagai agensi terdiri daripada pegawai dari Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik (NSB), Jabatan Siasatan Khas (DSI), Pejabat Anti Pengubahan Wang Haram (AMLO) dan Jabatan Pembangunan Perniagaan untuk membantu sisatan.

Bank pusat negara itu, Bank of Thailand (BoT) turut terlibat dalam membantu siasatan.

Sejak bertapak di Thailand beberapa tahun lepas, syarikat berkenaan meluaskan operasi perniagaannya merangkumi beberapa sektor termasuk hartanah, hiburan, taman tema dan restoran, khususnya di Danok dan Hatyai.

Malaysia turut menubuhkan sebuah pasukan petugas pelbagai agensi yang diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi menyiasat syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu.   

Baru-baru ini, pihak berkuasa Malaysia menyerbu beberapa premis syarikat itu dan membekukan beberapa akaun bank berjumlah RM177 juta, yang dikaitkan dengan syarikat terbabit.

Satu lagi sumber peringkat tinggi di agensi penguatkuasaan narkotik Thai mendedahkan kepada Bernama bahawa mereka mula mengesyaki hubungan antara syarikat berkenaan dan perdagangan dadah semasa siasatan terhadap 282 kilogram dadah sintetik ‘ice’ yang dirampas pada Mac tahun lepas.

Rampasan dadah itu menyaksikan dua rakyat Malaysia ditahan di pusat pemeriksaan Imigresen Sadao.

Semasa siasatan terhadap suspek, beliau berkata mereka memberikan maklumat berguna kepada penyiasat.

“Semasa pencarian di rumah suspek, kami menjumpai rekod transaksi kewangan yang membuatkan kami percaya ada hubungan antara dadah yang dirampas dengan syarikat itu,” katanya.

Penemuan hubungan yang disyaki itu kata sumber, memberi petunjuk kepada penyiasat yang menyiasat syarikat itu dan anak-anak syarikatnya selama lebih setahun.

Pada April tahun ini, penyiasat menyerbu pelbagai anak syarikat milik syarikat Malaysia itu di Hatyai dan Sadao.

Sumber berkata mereka telah menghantar permintaan untuk menyoal siasat pengasas syarikat Malaysia berkenaan bagi menjelaskan mengenai 14 juta Baht (RM1.75 juta) yang dirampas ONCB di satu daripada anak syarikat firma terbabit.

“Walaupun ada permintaan (menyoal pengasas), dia tidak muncul dan hanya mengantar wakil yang meminta supaya wang itu dipulangkan, tetapi ketua ONCB enggan mengalah sehingga pengasas itu sendiri tampil dan menjelaskan mengenai jejak wang itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.