Scha, Awal Mahu Tambah Anak

KUALA LUMPUR – Genap enam tahun berkahwin, pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya tidak menolak jika dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata kedua dalam tempoh terdekat.

Menurut Scha atau nama penuhnya, Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 34, pasangan itu merancang supaya dipermudahkan untuk menambah zuriat selepas dikurniakan anak pertama, Lara Alana yang kini berusia tiga tahun.

“Setelah enam tahun mendirikan rumah tangga, saya berdoa supaya diberikan segera rezeki untuk menambah anak. Sebelum ini, kami merancang kerana mahu memberi ruang kepada Lara untuk matang sedikit sebelum dikurniakan adik.

“Pada awal perkahwinan dulu, kami menanti lebih setahun sebelum dikurniakan Lara. Saya sedar, usia semakin bertambah, jadi saya berharap perancangan ini akan dipermudahkan oleh-Nya,” kata Scha, seperti memetik laporan BH.

Sementara itu, berkongsi mengenai perancangan untuk memperluaskan perniagaan, Scha berkata, butik Garderobe milik mereka bakal berpindah ke ibu kota dalam tempoh terdekat.

Selepas dua tahun melakukan pemerhatian, Scha dan Awal mencapai sepakat mencari lokasi lebih strategik untuk mengukuhkan lagi jenama itu.

“Lokasi sekarang kurang memberangsangkan kerana sukar ditemui pelanggan. Jadi, kami membuat keputusan berpindah di lokasi berdekatan dengan Jakel Mall.

“Jika sebelum ini kami menyediakan koleksi baju pelbagai jenama, tetapi kali ini kami memilih untuk memberi fokus kepada koleksi keluaran sendiri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.