PM Bersama 30,000 Rakyat Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Di Kluang

KLUANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai kira-kira 30,000 rakyat memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2017 di Stadium Mini, Taman Sri Lambak dekat sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ia dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2017 bukan sekadar majlis jamuan untuk rakyat, malah menjadi landasan untuk menonjolkan kekayaan budaya dan warisan seni masyarakat Melayu khususnya sambutan Aidilfitri kepada pelancong asing dan masyarakat tempatan.

Majlis itu, yang disiarkan secara langsung menerusi RTM 2, turut dimeriahkan lagi dengan persembahan seni dan kebudayaan oleh 572 artis tanah air termasuk Datuk DJ Dave, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Permata Seni Tari dan Koir, pemuzik ghazal, Badan Kesenian MINDEF serta Kumpulan Artis Kebudayaan Cina, Kluang dan Kumpulan Artis Tamil Malaysia Negeri Johor.

Sempena majlis itu, Karnival ATM diadakan buat julung kalinya mengikut Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dianjurkan Kementerian Pertahanan dan ATM sejak Khamis.

Kira-kira 20,000 orang mengunjungi karnival itu yang antara lain mempamerkan 20 aset Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia serta menampilkan persembahan seni ketenteraan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.