Penunjuk Perasaan Gesa Siasat PM Singapura

SINGAPURA – Kira-kira 400 orang penunjuk perasaan berkumpul bagi menggesa satu siasatan bebas dijalankan terhadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berhubung penyalahgunaan kuasa dengan adik-beradik­nya berkenaan rumah peninggalan mendiang bapa mereka, Lee Kuan Yew di 38, Oxley Road di sini.

Menurut Reuters, Hsien Loong dan adik-beradiknya berbalah sejak bulan lalu berhubung keputusan sama ada untuk meroboh rumah keluarga itu atau membenarkan kerajaan memutuskan jika ia seharusnya dipelihara menjadi tapak sejarah.

Anak perempuan Kuan Yew, Wei Ling dan anak lelaki bongsunya, Hsien Yang menegaskan, rumah itu wajar dirobohkan sejajar dengan wasiat bapa mereka, lapor Utusan.

Sepanduk berbunyi ‘Singapura milik warga Singapura dan bukan kepada Familee’ diletakkan di Speaker’s Corner, sebuah tempat yang ditetapkan untuk orang ramai menyuarakan pandangan mereka.

Tunjuk perasaan yang dihadiri rata-rata golongan usia pertengahan itu bagaimanapun berada dalam keadaan terkawal walaupun tanpa kehadiran pihak berkuasa.

“Kes tersebut bukan hanya soal wasiat Lee Kuan Yew sahaja. Wujud dakwaan penyalahgunaan kuasa.

“Dakwaan tersebut bukan datang daripada sebarangan sumber. Ia datang dari adik-beradik Perdana Menteri, yang me­nyedari maklumat tersebut tidak patut dikongsi kepada umum,” kata ahli perniagaan dan aktivis politik, Osman Sulaiman kepada orang ramai yang hadir.

Dalam pada itu, seorang jurucakap polis yang enggan dikenali memberitahu Reuters bahawa rakyat negara itu bebas bersuara selagi tidak menimbulkan sebarang isu permusuhan kaum atau agama serta melanggar undang-undang dan perintah.

Ketika ini, Hsien Loong dan adik-beradiknya mengambil pendekatan untuk berdamai dan memilih untuk menyelesaikan masalah itu secara peribadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.