Husam Bukan Calon Boleh Menang Di Kelantan, Kata Pemimpin PAS

SHAH ALAM – Naib Pengerusi Amanah, Datuk Husam Musa akan melalui jalan sukar untuk mempertahankan kerusi DUN Salor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof juga berkata PAS tiada masalah untuk meletakkan calon lain dan berdepan dengan Husam untuk menawan kerusi itu.

Ini kerana menurut beliau, pengaruh serta populariti Husam jatuh merudum selepas bekas exco kerajaan negeri Kelantan itu menyertai Amanah.

“Kalau kita melihat juga populariti antara tokoh-tokoh misalnya kajian terbaru dibuat Institut Darul Ehsan (IDE) daripada Selangor, satu daripada isu kajian strategik di bawah pejabat Menteri Besar Selangor pada Mac lalu telah pergi ke Kelantan membuat kajian dari segi populariti tokoh-tokoh.

“Tiada pun nama Datuk Husam sebagai orang yang boleh menang, itu salah satu contohnya,” katanya kepada Antarapos.

Untuk rekod Husam dipecat daripada PAS pada 23 April 2016 atas tindakan melanggar tatatertib.

Beliau kemudiannya menyertai Amanah yang diasaskan bekas pimpinan utama PAS yang diketuai Mohamad Sabu.

Husam akan kalah jika tanding di Kelantan

Tambah Wan Nik lagi, menurut kaji selidik yang dijalankan, Husam bukan lagi calon boleh menang di Kelantan.

“Ada lagi kajian-kajian lain yang kita dapati tatkala selepas Husam sertai Parti Amanah kita terus turun buat kajian di Salor.

“Nilai populariti dia di Salor jatuh terus serta bukan sebagai orang yang menang,” katanya.

Justeru bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan ini berkata Husam tiada peluang untuk menang di mana-mana kerusi di Kelantan pada PRU14.

“Begitu juga selepas Pengerusi Amanah Kelantan dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya Parti Amanah Kelantan mengumumkan Husam sebagai orang yang akan bertanding di Parlimen Kota Bharu.

“Kita buat kajian selepas daripada itu yang mana populariti dia tak melebihi daripada Umno,” katanya.

Mengulas lanjut Wan Nik berkata PAS masih lagi popular di kalangan rakyat Kelantan selain mampu mempertahankan pentadbiran semasa.

“Maknanya PAS masih lagi mengatasi daripada sudut sokongan rakyat di Kota Bharu selepas Datuk Rahim isytihar.

“Jadi dengan dua tiga data kajian ini terbukti tidak ada peluang untuk menang terutama sekali nama,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.