Malaysia Kutuk Cubaan Guling Kerajaan Turki

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk percubaan untuk menggulingkan kerajaan Turki pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dipilih secara demokratik oleh rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata, ini kerana ramai terbunuh dan cedera akibat tindakan itu.

 

Beliau berkata, rampasan kuasa dalam apa jua bentuk tidak harus dibiarkan kerana proses demokrasi adalah asas kebebasan, keselamatan dan kemakmuran.

 

“Ingatan dan doa kami bersama rakyat Turki. Turki dan Malaysia adalah sekutu dalam memerangi keganasan dan ekstremisme. Kami rakan dagangan dan bersatu dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

 

“Kami bersama menentang percubaan menggulingkan kerajaan yang dibentuk secara demokrasi oleh rakyat seperti yang dinyatakan melalui peti undi.

 

“Kami mahu melihat kestabilan kembali di Turki dengan seberapa segera mungkin, dan mengalu-alukan perisytiharan Presiden Erdogan mengenai kegagalan rampasan kuasa berkenaan,” katanya dalam entri Facebook rasminya, sebentar tadi. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.