Kenyataan Nga Bukan Tanggapan Masyarakat Cina – Pemuda Gerakan

KUALA LUMPUR – Kenyataan anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming di akaun Facebook miliknya yang menghina sambutan Aidilfitri baru-baru ini sama sekali tidak menggambarkan pandangan masyarakat Cina terhadap sambutan perayaan itu.

 

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata kenyatan Nga itu bukan sahaja mengguris hati masyarakat Melayu malah mencetuskan sentimen perkauman antara kaum di negara ini.

 

“Itu bukan tanggapan masyarakat Cina. Ini kali pertama saya dengar perkara ini (menghina perayaan). Saya rasa ini mentaliti individu itu sendiri (Nga) yang jahil dan tidak peka dengan amalan tradisi yang diamalkan masyarakat Melayu.-

 

“Ini bukan gurauan sebagaimana dinyatakan Naib Presiden DAP, Teresa Kok. Kenapa keluarkan kenyatan berunsur perkauman. Bagi saya kenyataan ini biadap dan kurang ajar,” katanya pada sidang media di sini hari Sabtu.
Mengikut akaun Facebook yang bernama Nga Kor Ming, satu status dimuat naik pada 5.15 petang 6 Julai, bertajuk “Hanya di Malaysia di bawah UMNO, Selamat Hari Raya”, satu karikatur menunjukkan dua budak sedang meminta derma daripada seorang individu.

 

Dalam perbualan dialog yang ditulis dalam karikatur itu, seorang budak bercakap “Tahun ni kami tak mintak duit raya… kami mintak derma…” manakala seorang lagi menjawab “Tak dapat derma, dedak pun ok… ” dan karikatur itu diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin”.

 

Sehubungan itu, Tan yang berasa kesal dengan tindakan Nga itu mewakili seluruh masyarakat Cina memohon maaf atas kenyataan seumpama itu dan berharap pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan sepatutnya.
“DAP jangan berdiam diri. Nga sepatutnya bertanggungjawab dan tampil membuat penjelasan kerana ia membawa kesan buruk terhadap keharmonian antara kaum,” katanya.

 

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil DAP terhadap Nga, Tan berkata Nga perlu mengambil cuti bagi memberi laluan kepada proses siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia berhubung kes tersebut.

 

Dalam perkembangan lain, Tan memaklumkan bahawa Pemuda Gerakan akan mengadakan perhimpunan ‘Kita Anak Malaysia’ pada 22 Julai ini di Dewan Perhimpunan Cina Kedah yang dijadual dirasmikan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.-Bernama–

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.