Jemaah Dinasihat Elak Perhimpunan Tiada Kaitan Ibadat Haji

YAN – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan agar tidak menyertai sebarang perhimpunan yang tidak kaitan dengan ibadat haji seperti yang bersifat politik dan melibatkan sentimen negara.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, larangan itu bertujuan mengelakkan sebarang perkara buruk daripada berlaku.

 

Katanya, ini termasuk menyertai perhimpunan Bersih seperti yang pernah terjadi beberapa tahun sebelum ini yang menjejas nama baik negara.

 

Justeru katanya, semua jemaah haji perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Haji (TH) bagi memudahkan urusan pemantauan pergerakan dan keselamatan mereka sepanjang musim haji.

 

“Kita tidak mahu ada orang mengatur sendiri jadual, termasuk untuk keluar sendiri, ini menyukarkan TH menguruskan pergerakan.

 

“Kerajaan Arab Saudi pula ada kawasan sensitif yang perlu dijauhi,” katanya.

 

“Pertemuan atau perhimpunan yang bukan bersifat untuk ibadah haji, contohnya perhimpunan yang ada kaitan dengan penjelasan parti politik atau mengheret sentimen negara seperti perhimpunan baju kuning di Mekah…harus dielak dari sekarang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Jerai, disini, hari ini.

 

Aspek keselamatan

 

Mengenai serangan pengganas di Madinah sebelum ini, jemaah haji katanya tidak perlu bimbang kerana kerajaan Arab Saudi sudah mempertingkatkan aspek keselamatan pada tahap maksimum dalam usaha memerangi pengganas.

 

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata Malaysia masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan mendapatkan kuota jemaah haji tambahan untuk musim haji tahun ini.

 

“Kuota setakat ini masih 22,320, tetapi kita masih menunggu dan mengikuti perkembangan semasa dari kedutaan dan rakan-rakan di Mekah dan Madinah.

 

“Mengenai pampasan susulan tragedi kren runtuh pada musim haji lepas pula, TH sudah serahkan semua dokumen berkaitan dan bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Arab Saudi untuk tentukan kesahihan dan jumlah nama untuk diberikan sagu hati, namun maklumat mengenai pembayarannya belum diketahui,” katanya.

 

Terdahulu, pada majlis sama, Jamil Khir turut menyempurnakan Pelancaran Rasmi Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti iaitu satu lagi inisiatif terbaharu TH dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar atau jauh dari pejabat TH cawangan.

 

Jamil Khir berkata, inisiatif baharu ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan ‘merakyatkan perkhidmatan’ melalui program Mobile Community Transformation Centre (Mobile CTC) iaitu perkhidmatan bergerak bagi menyediakan kemudahan dan perkhidmatan untuk penduduk luar bandar.

 

Sebanyak empat buah kenderaan disediakan untuk digunakan di Semenanjung, selain dua masing-masing di Sabah dan Sarawak, dan ia turut disokong oleh pemasangan Very Small Aperture Terminal (VSAT) bagi membolehkan orang ramai berurusan secara dalam talian dan real-time.

 

Sembilan perkhidmatan ditawarkan termasuk transaksi simpanan/pendaftaran ahli baru, transaksi pengeluaran, pendaftaran ahli Kelab TaHa, urusan berkaitan haji, gantian buku akaun simpanan, kemaskini maklumat pendeposit, pertukaran akaun kanak-kanak ke dewasa, permohonan pin mailer e-tHiJARI, dan permohonan penyata akaun.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani dan Pengarah Tabung Haji Kedah, Muhamad Hamdan Omar. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.