Isteri Saya Pun Orang Utara, Kata Ustaz Kazim

IPOH – “Isteri saya pun orang utara, dari Pendang, Kedah. Dia pandai memasak dan peramah”.

 

Demikian kata pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias mengenai populariti wanita dari negeri-negeri di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang menjadi pilihan lelaki Malaysia untuk disun­ting menjadi isteri.

 

Bagaimanapun beliau yang lebih dikenali Ustaz Kazim enggan mengulas mengenai iste­rinya, Datin Noriza Abu Bakar ketika populariti wanita dari utara menjadi pilihan lelaki Malaysia, kerana mereka berkahwin atas pilihan keluarga.

 

“Isteri saya adalah pilihan kelu­arga. Dia pandai memasak, pandai membawa diri,” kata­nya ringkas ketika dihubungi kelmarin.

 

Menurut Ustaz Kazim, populariti wanita utara menjadi pilihan lelaki Malaysia mungkin disebabkan sikap mereka yang peramah, mudah bergaul dengan masyarakat dan pandai membawa diri.

 

Beliau berkata, sikap peramah memudahkan pergaulan seseorang isteri bersama ahli keluarga dan masyarakat.

 

Katanya, wanita dari utara juga pandai membawa diri atau berdikari menyebabkan dalam banyak urusan rumah tangga, si isteri tidak terlalu bergantung kepada suami.

 

“Orang lelaki suka wanita yang peramah, bertanggungjawab dan pandai berdikari.

 

“Ini memudahkan urusan si suami zaman sekarang yang banyak kerja kerana dalam ba­nyak hal, isteri boleh melakukan sesuatu urusan tanpa kehadiran suami di sisi,” katanya lagi.

 

Ustaz Kazim mengulas laporan fokus Utusan Malaysia baru-baru ini yang menyebut wanita dari negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menjadi pilihan lelaki Malaysia untuk dijadikan isteri. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.