Asing Penumpang Lapangan Terbang Dapat Kesan Pengganas – Tiong Lai

Kementerian Pengangkutan menyifatkan cadangan hanya membenarkan penumpang di dalam terminal lapangan terbang seluruh negara sebagai langkah bernas dan efisien menangani ancaman semasa pengganas di negara ini.

 

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu akan memudahkan penguat kuasa mengecam dan menangkis pengganas yang menyamar sebagai penumpang di terminal udara negara ini.

 

Bagaimanapun katanya, pihaknya berdepan kekangan reka bentuk lapangan terbang udara di negara ini sekarang yang berkonsep terbuka untuk merealisasikan cadangan itu.

 

“Saya menyambut baik cadangan kerajaan yang sedang mengkaji yang hanya membenarkan penumpang berada di terminal lapangan terbang kerana ia sangat bernas dan relevan. Apabila sistem itu dilaksanakan, setiap penumpang yang memegang tiket penerbangan sahaja akan berurusan di terminal udara sekali gus memudahkan kita mengesan, menangkap pengganas bertanggungjawab terhadap insiden atau mematahkan sebarang bentuk serangan keganasan yang dirancang nanti

 

“Tetapi kita ada masalah kerana reka bentuk lapangan terbang yang lebih terbuka ketika ini boleh menyukarkannya kerana orang ramai pengunjung dan ahli keluarga sentiasa berurusan ketika penghantan penumpang. Masalah itu saya percaya terdapat ruang untuk cadangan pengasingan penumpang dilaksanakan menerusi pengubahsuaian dalam reka bentuk di semua lapangan terbang kita,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini selepas merasmikan Mesyuarat Agung tahunan Koperasi Serbaguna Malaysia di sini hari ini.

 

Mengulas lebih lanjut, Presiden MCA itu memberitahu, Malaysia Airports Holdings Berhad telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk mengkaji habis-habisan suatu mekanisme terbaik untuk melaksanakan cadangan yang ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

 

Ujarnya lagi, mekanisme itu akan mengambil kira idea dan kepakaran lapangan terbang terkemuka dunia di luar negara yang sudah lama melaksanakan sistem berkenaan.-

 

“Di negara luar seperti China dia melarang pengunjung atau ahli keluarga masuk ke dalam terminal udara, penumpang berurusan sahaja dibenarkan.

 

“Idea, pendapat orang awam dan pakar-pakar penerbangan kita di sini juga akan didekati kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

 

“Ahli keluarga akan mengikut penumpang untuk dihantar dan menjamu di premis-premis makanan di dalam terminal dan bayangkan apa berlaku jika dilarang masuk ke dalam terminal nanti tanpa pemberitahuan,” ujarnya lagi.
Tambah beliau buat masa sekarang pihaknya sudah mempertingkatkan kawalan keselamatan di kesemua pintu masuk udara seluruh negara dengan rondaan rapi polis dan kelengkapan senjata yang dilihat berkesan.

 

“Ketika ini, tahap keselamatan di kesemua lapangan terbang utama termasuk KLIA dan KLIA2 termasuk ruang udara laluan pesawat dan dalam terminal diperketatkan melalui rondaan anggota polis dilengkapi senjata mesin gun.

 

“Sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengesan imej berdefinisi tinggi juga disediakan bagi mengawasi pergerakan setiap pengunjung dan penumpang dengan mengaktifkan tahap berjaga-jaga

 

‘Ada peluang untuk meminta keraan tentera jika dirasakan perlu nanti sekiranya kekuatan anggota polis tidak cukup nanti,” tegasnya lagi. – MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.