Madrasah Tahfiz Mohon Bantuan Kewangan

TAPAH – Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) di Jalan Cameron Highlands-Tapah di sini memerlukan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak bagi melangsaikan pembayaran tapak pusat tahfiz tersebut.

 

Pengasasnya, MazriFirdaus Mohd. Ariffin berkata, MTFAW yang beroperasi di tanah seluas 8.9 hektar itu dibeli dengan nilai RM1.4 juta dan pembayarannya dilakukan secara ansuran.

 

Katanya, sehingga kini, baki bayaran untuk tanah itu masih banyak walaupun tempoh akhir janji pembayaran tersebut sepatutnya berakhir pada Oktober ini.

 

“Pembayaran tanah ini dibuat melalui sumbangan dan derma orang ramai. Berapa pun nilai yang diperoleh, kita akan salurkan kembali kepada pemilik tanah sebagai pembayaran.

 

“Tempoh akhir pembayaran adalah pada Oktober ini dan kita ada meminta pada pemilik tanah ini untuk memanjangkan tempoh pinjaman supaya dapat menyelesaikan bayaran tertunggak,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

 

Menurutnya, pusat tahfiz yang beroperasi secara percuma itu diasaskan bersama isterinya, Sarimah Sam, 38, dengan menempatkan seramai 41 pelajar dan dua guru.

 

Katanya, pelajar yang berusia lingkungan enam hingga 17 tahun itu terdiri daripada anak yatim piatu, mualaf, fakir miskin dan Orang Asli.

 

“MTFAW mula ditubuhkan sejak empat tahun lalu dan pada awal tahun ini, kita berpindah ke sini dari Teluk Intan. Sebelum ini kita pernah beroperasi di Pekan Nenas, Pontian, Johor dan Pasir Salak.

 

“Kami sudah beberapa kali pindah dan kali ini memohon bantuan orang ramai untuk membantu melunaskan bayaran tanah ini. Sejak beroperasi, MTFAW ‘hidup’ dengan mengharapkan sumbangan dan derma orang ramai,” ujarnya.

 

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi, 558060504394 atau hubungi MazriFirdaus di talian 014-2528085 atau 017- 4418384. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.