Dua Tentera Cedera Ditembak Di Sempadan Malaysia-Thailand

KOTA BHARU – Dua anggota tentera cedera ditembak dipercayai oleh penyeludup ketika sedang meronda di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Pos Machang, Tanah Merah, semalam.

 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata dalam kejadian kira-kira 5.35 petang itu, anggota tentera berusia 26 dan 29 tahun dari Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (RS) itu ditembak dari jarak 30 meter menggunakan senjata jenis ‘shotgun’.

 

“Mangsa berusia 29 tahun cedera di kedua-dua pahanya manakala seorang lagi cedera di paha kiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

 

“Kita akan minta bantuan Thailand untuk siasat kes ini dan setakat ini suspek sudah kita kenal pasti dan percaya suspek lebih daripada seorang,” katanya.

 

Mazlan menasihatkan penduduk supaya menjauhi kawasan sempadan buat masa ini atas faktor keselamatan.

 

Menurutnya, walaupun ada cubaan menakut-nakutkan agensi keselamatan di sempadan, pihak berkuasa tidak sesekali gentar menjalankan tugas yang diamanahkan.

 

“Saya mahu beritahu penyeludup, kita tidak akan gentar malah rondaan mencegah penyeludupan akan terus diadakan,” katanya.

 

Mazlan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

 

Sementara itu di TUMPAT, Panglima 8 Briged Infantri, Briged Jeneral Datuk Azmy Yahya, berkata kejadian terbabit tidak akan menjatuhkan moral anggotanya yang bertugas mengawal sempadan negara.

 

“Tindakan pengecut yang dilakukan suspek berkenaan tidak sesekali akan membuat kami takut, malah akan menjadikan kami lebih kuat.

 

“Satu laporan polis telah dibuat semalam dan kami juga akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu,” katanya.

 

Di bawah Op Wawasan 1, Op Wawasan 2, Op Merpati 1 dan Op Merpati 2, Angkatan Tentera Malaysia ditugaskan mengawal sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sejauh 129 kilometer, membabitkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.