TLDM Perlu Patuhi SOP Tembak Penceroboh

KUALA LUMPUR 15 Julai – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkawal di perairan Sabah hanya akan melepaskan tembakan ke arah sasaran selepas dikenal pasti sebagai anasir yang mencurigakan dan tidak mematuhi arahan meskipun telah disuruh untuk berhenti.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kuasa untuk menembak tidak bermakna TLDM mempunyai kebebasan melepaskan tembakan, sebaliknya setiap prosedur operasi standard (SOP) akan dipatuhi.

Menurut beliau, dalam keadaan terdesak tidak semestinya anggota pasukan itu perlu meminta kebenaran daripada pihak atasan terlebih dahulu sebelum melepaskan tembakan kerana prosedur itu hanya akan membahayakan diri sendiri atau menyebabkan penceroboh melepaskan diri.

“Dalam beberapa kejadian, langkah pertama TLDM adalah mengejar suspek dan menentukan bahawa mereka ini mencurigakan, kemudian bila disahkan barulah arahan supaya mereka berhenti dikeluarkan.

“Kalau tidak juga berhenti, menguatkan lagi andaian bahawa unsur yang mencurigakan ini adalah penceroboh, justeru kita perlu ada kebenaran menembak dan dalam keadaan terdesak tidak perlu minta kelulusan orang atasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar ini hari ini menyiarkan kenyataan Abdul Aziz bahawa TLDM akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk membolehkan anggotanya diberi kuasa melepaskan tembakan terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kawasan perairan Sabah.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah jika pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.

Cadangan tersebut timbul berikutan insiden serangan terbaharu satu kumpulan bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna, Sabtu lalu yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM), Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, manakala rakan setugasnya, Konstabel Zakiah Aleip, 26, diculik kumpulan itu.

Menurut Abdul Aziz, kuasa menembak yang ada ketika ini tertakluk kepada Peraturan Kawalan Tembakan (ROE) iaitu hanya boleh dilepaskan apabila pasukan keselamatan dicabar atau telah ditembak terlebih dahulu.

Menurut beliau, kerajaan boleh mempertimbangkan memasukkan terma ‘melepaskan tembakan apabila unsur mencurigakan dan tidak mengendahkan arahan berhenti’ ke dalam peraturan itu jika ingin memberi kebenaran tersebut.

“Kita tidak mahu sudah terhantuk baru tengadah. Cadangan ini bukan bermaksud kebebasan menembak, tetapi kawalan di kawasan perairan negara perlu dipertingkatkan jika kita tidak mahu kes baharu berlaku (insiden serangan).

“Bukan semua benda kita curigai, hanya kes tertentu. Kami faham SOP perlu terutama selepas beberapa kes sebelum ini membabitkan polis meskipun apabila mereka melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri, namun tetap dipertikaikan,” jelas beliau.

 http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_09/TLDM-perlu-patuhi-SOP-tembak-penceroboh#ixzz37ZG97gRS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.