Subsidi Kerajaan Stabilkan Harga Barang Di Bario

BARIO (Bernama) — Sebelum ini, penduduk di Bario, satu kawasan pedalaman di utara Sarawak, melalui kehidupan yang sangat sukar berikutan harga barangan keperluan yang amat mahal dan perbezaannya sangat ketara berbanding dengan kawasan-kawasan lain di Bumi Kenyalang ini.

Bayangkan, harga diesel dan petrol di dataran tanah tinggi berhampiran sempadan Kalimantan itu pernah melonjak sehingga RM10 seliter manakala tong gas petroleum cecair (LPG) 14kg pula berharga RM148 setong.

Makanan keperluan seperti gula pula pernah mencecah harga RM6 untuk sekilogram manakala RM10 untuk minyak masak dan RM4 untuk tepung gandum dengan berat yang sama.

Kos hidup yang amat menekan ini disebabkan keadaan muka bumi Sarawak yang bergunung ganang, berlembah dan sungai yang luas, faktor lokasi dan kesukaran pengangkutan, yang mana jalan masuk ke perkampungan ini hanya boleh dihubungi dengan menggunakan pesawat khas kecil atau dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak yang mengambil masa hingga 12 jam dari Miri.

SUBSIDI RAPATKAN JURANG HARGA

Namun, kesungguhan kerajaan dalam merapatkan jurang harga di Bario sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil dan benar-benar melegakan kesempitan hidup penduduk di sini, yang kebanyakannya bekerja sebagai pesawah dan petani.

Pada Mei 2010, melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), ‘Projek Komuniti Drumming Penyeragaman LPG dan Barang Perlu Bersubsidi’ dilancarkan bagi menyeragamkan harga barangan keperluan di situ.

Hasil tinjauan Bernama mendapati, penduduk kini hanya perlu membayar RM2.10 seliter untuk petrol RON95, RM2 seliter untuk diesel, manakala harga tong gas hanya RM26.60 untuk setong.

Melalui subsidi yang diberi kerajaan, gula pasir kasar juga hanya RM2.50 untuk sekilogram, minyak masak sawit (kampit) RM2.50 sekilogram, tepung gandum kegunaan am RM1.35 sekilogram dan beras nasional dengan kandungan hancur 15 peratus (10 kg) berharga RM18.

Selain itu, barangan lain antaranya seperti susu, tepung, bawang dan makanan tin, kini boleh diperoleh dengan harga sama dengan yang dijual di bandar Miri.

Keseragaman harga itu dapat dinikmati penduduk Bario apabila kerajaan menanggung kos pengangkutan yang menjadi faktor utama kos harga barangan serta menyediakan subsidi sebanyak RM70 setiap tong gas.

KERAJAAN BANYAK MEMBANTU

Penghulu Kawasan Bario, Robertson Bala, 65, berkata langkah memperkenalkan barangan bersubsidi di Bario benar-benar meringankan beban penduduk yang terpaksa ditanggung sejak sekian lama.

“Selama ini memang kami berasa terbeban dengan kos sara hidup di sini yang amat tinggi, tambahan pula penduduk di sini hanya bekerja kampung tetapi dengan adanya pelbagai bantuan sejak beberapa tahun ini, taraf kehidupan penduduk jauh meningkat berbanding dahulu,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Katanya kerajaan sememangnya banyak memberi sumbangan kepada Bario dalam segala aspek sama ada daripada segi kebajikan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan.

“Kami bersyukur kerana kerajaan sentiasa beri perhatian dan tidak pernah lupa membantu, antaranya dengan pemberian subsidi yang menyaksikan harga kebanyakan barangan keperluan setara dengan bandar, malah ada yang lebih murah.

“Harga tong gas di Bario contohnya kini berharga RM26.60 setong sedangkan di Miri setong berharga RM35…malah sekarang telah ada produk makanan 1Malaysia dijual di Bario dan bekalan makanan kini tidak pernah terputus,” katanya.

BANYAK PERUBAHAN

Robertson berkata meskipun Bario terletak jauh daripada arus pemodenan namun perkampungan itu mempunyai kemudahan asas mencukupi seperti lapangan terbang kecil, klinik kesihatan yang lengkap, balai polis, sekolah, pejabat imigresen, kedai runcit, pasar basah dan gerai makanan.

Beliau berkata dahulu, jalan-jalan raya di Bario amat teruk tetapi kini mengalami banyak perubahan dengan banyak jalan telah berturap termasuk jalan-jalan utama.

“Bagaimanapun ada beberapa kampung yang masih belum ada jalan raya, seperti Kampung Pa’longan yang memerlukan penduduk berjalan kaki selama lima jam untuk masuk ke dalam…kita harap kerajaan dapat berbuat sesuatu,” katanya.

Bagi masyarakat setempat, Bario memerlukan banyak lagi pembangunan di kawasan itu bagi membaiki lagi taraf hidup penduduk, antara lain yang diperlukan penduduk di sini ialah bekalan air yang dirawat, bekalan elektrik dan mesin pengeluaran automatik (ATM).

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.