Sijil Halal Kilang Roti Jijik Di Ipoh Ditarik Balik

Kuala Lumpur – Sijil halal sebuah kilang roti yang didakwa kotor dan jijik di Ipoh telah ditarik balik oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

JAIPK mengesahkan tindakan menarik logo halal dari kilang tersebut telah pun diambil sekitar sebulan yang lalu.

Menurut Sinar Harian, JAIPK, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan operasi ke atas kilang tersebut pada tarikh 12 Jun.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati kilang ini menggunakan logo halal tanpa perakuan JAIPK malah sijil halal yang dimiliki tidak diperbaharui selama dua tahun.

“Sebanyak tiga lori roti disita dalam operasi itu. Syarikat terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dikenakan denda sehingga RM 250,000,” kata sumber JAIPK.

Gambar keadaan kilang roti yang tidak mengikut piawaian kebersihan itu sebelum ini telah didedahkan oleh beberapa laman blog dan hebat diperkatakan di laman media sosial.

Exco Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan turut memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa tindakan susulan telah diambil ke atas kilang roti yang beroperasi di Jalan Kuala Kangsar sebelum bulan Ramadan lagi.

Wakil syarikat itu turut dihubungi dan mengakui kilang berkenaan sudah pun ditutup dan kini berpindah ke tempat baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.