Peter Chin Sah Tidak Pertahan Jawatan Sebagai Presiden SUPP

MIRI, 15 Julai (Bernama) — Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin Fah Kui (Gambar)hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam pemilihan jawatankuasa pusat parti itu untuk penggal 2015-2017.

Chin, 69, dalam satu kenyataan di sini, turut meminta agar tidak dicalonkan untuk bertanding semasa Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) 2014 bulan depan.

“Bagi mengelakkan sebarang spekulasi, saya menyatakan hasrat saya untuk tidak lagi terlibat secara aktif dalam pentadbiran SUPP selepas TDC 2014 kelak.

“Sehubungan itu saya tidak akan meminta (atau dipujuk menerima) pencalonan untuk bertanding merebut kerusi dalam Jawatankuasa Pusat SUPP 2015-2017,” katanya.

Chin yang meneraju SUPP sejak 11 Dis 2011, berkata sehubungan itu juga beliau tidak menyerahkan kertas pencalonan kepada cawangan Bekenu hari ini.

“Saya akan kekal sebagai anggota yang setia kepada SUPP dan penyokong tegar parti serta Barisan Nasional,” katanya.

TDC 2014 dijadualkan berlangsung di ibu pejabat SUPP pada 23 dan 24 Ogos ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.