Khalid Samad Akur Teguran Sultan Selangor

SHAH ALAM 15 Julai – Ahli Parlimen Pas, Khalid Abdul Samad berharap beliau dapat menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan kepada baginda tindakannya mempertikaikan serta meminta kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini.

Menurutnya, sebagai rakyat Selangor, beliau akur dengan segala penegasan yang telah dibuat oleh baginda ke atasnya mengenai tindakannya sebelum ini.

“Saya terima dan akur dengan semua teguran baginda terhadap saya. Saya harap dapat mengadakan pertemuan dengan baginda untuk mendengar sendiri pandangannya selain saya memberikan penjelasan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin hari ini menyatakan rasa kesal dan dukacita terhadap Ahli Parlimen Shah Alam itu yang dilaporkan menerusi media sebelum ini mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS selain mencadangkan kerajaan negeri supaya kuasa majlis itu dihapuskan.

Ketika bertitah dalam majlis perasmian Masjid Pekan Sepang hari ini, baginda menegaskan sebagai bukan seorang anak jati Selangor, Khalid sepatutnya melengkapkan diri dengan memahami sejarah serta mendalami undang-undang yang terpakai di Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Selain itu, baginda turut menegur Khalid yang disifatkan jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-undang tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu baginda menjalankan kuasanya sebagai Ketua Agama Islam di Selangor.

Pada masa sama, sikap dan tindakan Khalid itu menurut baginda seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangan beliau terhadap kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor yang mendapat nasihat daripada MAIS.

Malah, menurut baginda tindakan mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor bukanlah kali pertama dilakukan Khalid yang menganggapnya sudah lapuk.

http://202.190.126.82/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_15/Khalid-Samad-akur-teguran-Sultan-Selangor#ixzz37ZtNDL8I 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.