Kerajaan Setuju Laksanakan VEP Untuk Kenderaan Singapura

Johor Bahru – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing dari Singapura yang memasuki Johor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata kadar bayaran dan tarikh penguatkuasaan VEP akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, beliau meminta kerajaan negeri Johor memberikan notis kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung pelaksanaan VEP.

“Sebahagian daripada hasil kutipan itu akan kita kongsi dengan kerajaan negeri Johor,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan, ketika berucap sebelum majlis berbuka puasa dengan rakyat Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada hari ini.

Beliau berkata keputusan itu juga dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, yang dipertanggungjawabkan menjaga Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Terdahulu, perdana menteri menghadiri taklimat pembangunan negeri selama lebih sejam bagi mendapatkan maklumat mengenai pelan dan pelaksanaan kerajaan negeri terutama akujanji yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tahun lepas.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, yang ditemui selepas taklimat itu, berkata pelaksanaan bayaran VEP itu tidak melibatkan kenderaan asing dari Thailand di sempadan utara Semenanjung.

“Kemungkinan kita ambil pendekatan dua hala antara Malaysia dan Singapura, kerana hanya Singapura sahaja yang mengenakan bayaran ke atas kereta berpendaftaran Malaysia sedangkan negara-negara lain tidak mengenakan bayaran,” kata Aziz.

Sebelum ini, kerajaan negeri Johor mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk mengenakan bayaran VEP sebanyak RM20 sehari bagi kenderaan Singapura yang memasuki negara ini melalui Tambak Johor dan Lebuh Raya Laluan Kedua.

Daripada jumlah itu, RM5 diserahkan kepada kerajaan negeri untuk penyelenggaraan jalan raya di negeri itu.

Dalam pada itu, Singapura turut meningkatkan kadar bayaran VEP ke atas kereta berpendaftaran asing daripada S$20 (RM51.40) kepada S$35 (RM90) sehari berkuat kuasa 1 Ogos ini.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kerajaan-setuju-laksanakan-bayaran-masuk-untuk-kenderaan-singapura#sthash.RaATIKAe.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.