Kenyataan Khalid Samad Gelojoh, PAS Perlu Bertindak Tegas

Kuala Lumpur – NGO pendesak Melayu, Jalur Tiga Malaysia (JATI) menggesa parti PAS bertindak tegas ke atas MP dari parti itu, Khalid Samad demi menjaga hubungan baik di antara kerajaan Selangor dan pihak istana.

Presiden JATI, Datuk Hasan Ali berkata, PAS perlu bertindak kerana tuntutan Khalid yang “gelojoh” agar kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dihapuskan itu di luar kuasa sebuah parti politik.

Apatah lagi apabila ia berkait secara langsung dengan Sultan Selangor yang menjadi ketua agama Islam dan istiadat Melayu, katanya.

“Khalid Samad bukan setakat bertindak di luar daripada batasan peraturan parti, bahkan dalam kes yang sedang dipersoalkan itu beliau terang-terang dengan gelojoh membuat cadangan rambang supaya kuasa eksekutif MAIS dibataskan.

“Cadangan yang tidak waras ini sudah tentu berkait langsung dengan batang tubuh Tuanku Sultan yang menjadi payung agama Islam dan adat istiadat Melayu seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Katanya, PAS perlu mengambil kira penjelaskan PAS Selangor bahawa tuntutan tersebut hanya pandangan peribadi Khalid Samad dan tiga MP parti tersebut.

“Seperti disahkan oleh pesuruhjaya PAS Selangor baru-baru ini bahawa pandangan Khalid Samad dan tiga ahli Parlimen PAS itu tidak mencerminkan pandangan PAS Selangor.

“Tetapi adakah insiden ini belum cukup untuk pimpinan PAS mengambil tindakan lebih tegas demi menjaga imej parti di samping mengekalkan hubungan baik dengan pihak istana?” katanya pada sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur.

 

Hapus kuasa MAIS semata-mata

Hasan Ali berkata, beliau tidak percaya bahawa Khalid berhasrat untuk mengelakkan institusi raja tercemar apabila menyarankan agar kuasa eksekutif MAIS dihapuskan.

Anggota MAIS Itu berkata, beliau lebih yakin bahawa Khalid mahu menghapuskan kuasa eksekutif badan tersebut semata-mata.

“Yang ini bagi saya (kenyataan) lazim buat seseorang seperti Khalid Samad yang angkuh, bongkak dan meninggi diri.

“Dia mempersoalkan kebolehan dan kewibawaan Sultan. Takkanlah sultan dengan pelbagai lapis penasihatnya tak dapat menjangkau apa yang Khalid Samad maksudkan,” katanya.

Beliau juga yakin pihak istana tidak akan melayan permintaan Khalid untuk mengadap Sultan Selangor bagi menjelaskan maksudnya sebelum ini.

“Rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya kena faham dengan permainan Khalid Samad. Saya fikir istana tak akan layan (permintaan Khalid),” kata bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu lagi.

Beliau mendakwa MP tersebut akan menggunakan peluang dalam pertemuan seperti itu untuk kepentingan dirinya.

“Perkara sebegini akan lonjakkan Khalid Samad,” katanya yang menjelaskan, pertemuan seperti itu akan menjadi tumpuan utama laporan berita tempatan dan antarabangsa.

“Tak ada sebab pun Khalid Samad nak jumpa Sultan sebenarnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.