KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Rafizi Ramli atas khidmat baik terajui Kementerian Ekonomi.
Berucap pada persidangan Energy Asia 2025, Anwar mengesahkan bahawa Kementerian Ekonomi akan kekal wujud.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang,” katanya.
“Saya akan tentukan, pada masa yang sesuai, menteri atau kementerian mana yang akan mengambil alih tanggungjawab tersebut.”
Anwar berkata, tiada keperluan untuk merombak Kementerian Ekonomi.
Beliau mengulas mengenai ura-ura kementerian itu akan ditutup selepas Rafizi nekad melepaskan jawatan anggota Kabinet.
Anwar menjelaskan, Kementerian Ekonomi dulunya EPU di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan kemudian dalam beberapa tahun ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang pertama, dibentuk satu kementerian.
EPU adalah agensi yang berkesan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan kemudian sebuah kementerian ditubuhkan yang sebenarnya menguruskan fungsi EPU.
“Buat masa ini, tiada isu, tiada masalah. Jadi, mari kita teruskan,” lapor BH pada Isnin.
Media itu hari ini melaporkan bahawa dikatakan ada ura-ura untuk ‘menutup’ Kementerian Ekonomi selepas Datuk Seri Rafizi Ramli nekad melepaskan jawatan anggota Kabinet.
Difahamkan, terdapat perbincangan memansuhkan kementerian itu dengan mewujudkan semula Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai satu agensi Pusat.
Menurut sumber, kerajaan seakan tidak ‘ambil pusing’ dengan peletakan jawatan Rafizi susulan tewas pemilihan pusat PKR tempoh hari.
Jadi, sebagai ‘opsyen’ untuk menggantikan fungsi dan peranan Ahli Parlimen Pandan itu dalam hal ehwal ekonomi, sumber memberitahu antara cadangannya adalah melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri.
Mengenai status peletakan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, Anwar berkata beliau telah memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk befikir dan renungkan mengenai keputusan untuk melepaskan jawatan itu.
Perdana Menteri juga telah memberikan pandangannya bahawa adalah lebih baik terus berkhidmat.
Mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Anwar berkata, RMK13 adalah membabitkan kerja Jemaah Menteri keseluruhannya.
Beliau berkata, memandangkan banyak perubahan yang berlaku dalam ekonomi global seperti tarif, justeru banyak angka unjuran yang perlu dirombak.