KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya pemimpin yang menang memulakan langkah untuk merangkul semula yang tewas dalam pemilihan parti itu.
Perdana Menteri itu menegaskan, ini budaya PKR ‘engage’ dan dekatkan semula, bukan terus mencemuh.
“Persaingan adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dalam setiap sistem yang demokratik PKR tidak terkecuali. Dalam sebuah keluarga besar seperti PKR, pertembungan dan percanggahan idea serta pandangan harus diraikan kerana di situ lahirnya kekuatan gagasan, kematangan fikrah dan kemurnian idealisme.
“Saya tegaskan kini masa untuk melihat dan melangkah ke hadapan. Yang menang mesti memulakan langkah untuk merangkul semula yang tewas. Kembalikan silaturahmi dan perkuatkan sendi perjuangan. Ini budaya PKR ‘engage’ dan dekatkan semula, bukan terus mencemuh.
“Budaya ‘engagement’ pasca-pemilihan telah lama saya semai bukan sekadar untuk berdamai, tetapi untuk merenung, menyusun semula kekuatan dan membina semula tiang seri perjuangan demi rakyat dan negara.
“Ingat sebahagian penegasan Abraham Lincoln sesudah Perang Saudara di Amerika, “with malice toward none, with charity for all… let us strive on to finish the work we are in…”
Selepas Melaka minggu lalu, Perak menjadi negeri kedua yang kita kunjungi. Insya-Allah, kita akan terus mara sebagai satu keluarga besar PKR,” kata Anwar.
Petang semalam beliau berada di Lumut mengadakan pertemuan bersama pimpinan negeri serta anggota PKR Perak, yakni satu pertemuan yang amat bermakna pasca pemilihan parti.
“Alhamdulillah, kehadiran yang begitu memberangsangkan mencerminkan semangat kesatuan yang terus menyala dalam setiap jiwa anggota PKR,” ujarnya.