KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan beberapa tambah baik kepada kerajaan agar lebih strategik menjamin sekuriti makanan negara.

Beliau mencadangkan penglibatan sektor swasta haruslah digalakkan secara besar-besaran.

Manakala katanya, kerajaan berperanan sebagai penstabil dan elakkan kapitalisme menentukan segala-galanya dalam menentukan harga pasaran.

“Ada rasionalnya kerajaan membantu secara tak langsung dalam ekosistem pasaran agromakanan (dan sektor-sektor lain umumnya). Ia bagi mengelakkan kapitalisme terlalu menguasai pasaran dan sukar dikawal hingga membebankan rakyat dan pengguna.

“Pada masa yang sama kita perlu galakkan persaingan sihat dan elak monopoli berleluasa bagi memastikan harga semua pihak boleh memberikan harga yang lebih rasional ekonomi,” syor beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara lain turut menyebut, bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan yang lebih inklusif dan kukuh pada jangka masa panjang, kerajaan boleh memberikan dua penekanan utama iaitu dengan memberikan subsidi dan sokongan kepada pengusaha tempatan atau Bumiputera misalnya untuk menceburi sektor agromakanan di setiap lapisan rantaiannya.

Selain itu katanya, kerajaan harus mengoptimumkan kewangan negara dengan memberikan subsidi makanan atau bantuan bersasar kepada golongan yang memerlukan sahaja dan bukan kepada semua.

“Kupon makanan dan pemberian wang tunai antara kaedah yang boleh dilaksanakan agar dapat mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan dalam mendepani kenaikan harga barang makanan.

“Malah kerajaan harus ada dasar intervention atau campur tangan dalam situasi ekosistem ekonomi bebas kapitalis lebih-lebih lagi dalam menentukan harga siling bahan makanan. Negara maju sekali pun bertindak sedemikian bagi menjaga kebajikan rakyat,” jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi semasa dan kenaikan harga barang global, campur tangan strategik perlu bagi mencampuri supply and demand forces dalam jangka masa panjang, tegasnya.

Kata Zahid, faktor turun naik harga makanan dan juga bekalan makanan amatlah rumit.

“Jika dasar ekonomi jangka masa panjang kerajaan diambil atas sifat reactionary, maka masalah tidak akan dapat diselesaikan secara menyeluruh. Ia amatlah mengecewakan kerana Malaysia telah diberkati dengan cuaca yang baik serta kawasan pertanian yang subur.

“Maka perlu ada dasar yang lebih progresif dan dinamik serta menyeluruh.

“Kita sepatutnya mencontohi mencontohi negara terbilang dalan sekuriti makanan dalam konteks self-sufficiency ratio penghasilan makanan negara.Negara yang berjaya dalam sekuriti makanan seperti Finland dan Belanda ialah negara yang menyokong teguh pertumbuhan pertanian secara progresif dan memastikan rantaian nilai yang berkaitan di bawah kawalan dan terpelihara. Di samping itu, menggalakkan penyelidikan pertanian dan menyokong organisasi peladang,” ujarnya.

Zahid menambah, golongan yang memerlukan wajar diberikan subsidi dan bantuan bersasar berdasarkan data yang terkini.

“Selain obsesi kerajaan dalam meningkatkan
hasil negara melalui pelbagai jenis cukai, kerajaan juga harus segera memperbaiki sistem penyampaian subsidi dan bantuan terutama sekali bagi membantu golongan sasar mendepani fenomena kenaikan harga makanan ketika ini,” syor beliau.

Menurut Zahid, inisiatif -inisiatif yang diumumkan baru-baru ini perlulah diteliti semula, lebih-lebih lagi dalam memperkenalkan harga siling bergerak yang mengikut faktor harga input dan penglibatan Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi Kerajaan dalam menerajui ekosistem agromakanan.

Kata beliau, kedua-dua inisiatif ini dilihat kurang straregik untuk dipanggil sebagai inisaitif jangka masa panjang bagi memperkukuhkan ekosistem sekuriti makanan negara.