Video : Tidak Boleh Kaitkan Iftar Dengan Gay Kata Mufti

PUTRAJAYA – Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan pihak yang terlibat menganjurkan Iftar Gay supaya membuat majlis Iftar secara umum.

Beliau berkata, perkara yang jelas baik tidak boleh dicampur aduk dengan perkara yang menjadi percanggahan dalam Islam seperti amalan Gay dan sebagainya.

“Perkara yang jelas baik seperti berbuka puasa dengan perkara yang menjadi percanggahan tidak boleh dicampur adukkan, ia tidak dibenarkan dalam Islam; seperti amalan Gay dan sebagainya.

“Ia nampak tiada kebaikan dan terpalit isu yang akan jadi kontroversi. Jadi sebaiknya dan seeloknya, jemput sahaja sesiapa pun berbuka puasa secara umum. Itu lebih baik,” katanya kepada SuaraTV ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penularan pengamal atau pendukung LGBT yang semakin berleluasa menurutnya, semua pihak perlu mengambil perhatian untuk mengelakkan perkara ini daripada terus meresapi budaya dan anak muda di negara ini.

“Sewajarnya, kita bersama-sama berganding bahu dengan menasihati, beri tunjuk ajar, dan bimbingan,”katanya.

Menurutnya, penularan budaya itu mungkin kerana pengaruh rakan sebaya dan kecetekan ilmu yangmana mudah terpengaruh (anak muda) dan terikut-ikut dengan budaya yang dibawa negara barat.

Tambahnya, sebagai langkah untuk mengurangkan penularan dan kemasukan budaya yang tidak sihat ini, semua pihak perlu bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan supaya perkara ini dapat dicegah dan dapat dielakkan pada masa hadapan.

Terdahulu, SuaraTV melaporkan, memetik sebuah laman sesawang, penganjur Iftar Gay mengakui program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada anak muda yang menyokong gerakan dan amalan pendukung kumpulan itu.- SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.