Tun Mahathir Tak Layak Jadi PM Sekali Lagi, Kata Exco Armada PPBM

SHAH ALAM – Isu berkaitan siapa yang lebih layak menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum (PRU) terus hangat.

Bercakap pada sidang media  di sini semalam, Exco Armada Pusat, Abd Wahazir Abd Wahabi menegaskan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak jadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat memerintah negara.

Beberapa minggu lalu,  bekas Perdana Menteri paling lama memerintah itu menawarkan diri  sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

Menurut Abd Wahazir dalam Pakatan Harapan ramai yang ‘tidak waras’ dan pada masa sama, banyak nama pemimpin dicalonkan bagi jawatan itu.

“Ada calonkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga mentor saya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, selain Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya seperti dipetik media.

Dalam Kongres PKR baru-baru ini semua pemimpin utama pakatan pembangkang mengangkat pelakat ‘Anwar PM Ke-7’. Namun,  Mahathir dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbuat demikian.

“Sepatutnya ada orang lain yang lebih layak jadi perdana menteri,”  tambah Exco Armada itu lagi.

Ketika PPBM kelihatan ghairah untuk mengemukakan calon  perdana menteri mereka, PKR pula bertekad mahu pemimpinnya yang kini meringkuk di Penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon terbaik.

Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada zaman pemerintahan Mahathir sebelum dipecat pada 1998 dalam krisis politik yang paling dahsyat dalam Umno.

Anwar kemudiannya disumbat dalam penjara kerana didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan kes liwat.

Penganalisis berpendapat bahawa pertikaian yang berlarutan tentang calon perdana menteri itu membuktikan seolah-olah Pakatan Harapan tiada pemimpin lain yang lebih layak.

Sedangkan, menurutnya, pakatan pembangkang berkenaan perlu pergi lebih jauh daripada sekadar bergantung kepada dua pemimpin berkenaan.

Pakatan Harapan kini terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan PPBM, selepas Pas enggan bekerjasama dengannya.

Penganalisis percaya bahawa  akan berlaku persaingan sengit dalam PRU akan datang, dengan Pakatan Harapan yakin dapat menumbangkan Barisan Nasional sehingga mencetuskan cadangan siapa calon paling layak jadi perdana menteri.

Menurut penganalisis itu lagi, Mahathir berada di belakang Anwar dari segi populariti untuk menjawat jawatan itu. – Sarawakvoice

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.