Terlalu Banyak Makan Daging, Plasma Darah Bertukar Putih

Zhongshan, CHINA- Seorang lelaki yang makan terlalu banyak daging terkejut selepas mendapati plasma darahnya bertukar menjadi putih.

Menurut Daily Mail, lelaki itu yang dikenali sebagai Zhao, 40, dimasukkan ke Hospital Zhongshan Chenxinghai di sini pada bulan lalu selepas mengadu sakit perut dan belakang, lapor Metro.

Dr Chen Guo-xiang memberitahu, pemeriksaan mendapati pankreas Zhao bengkak dan ujian darah dilakukan untuk mengesan puncanya.

Sehubungan itu, selepas membuat ujian darah, doktor terkejut apabila mendapati plasma darah lelaki itu yang sepatutnya berwarna kuning cerah bertukar menjadi putih seperti susu.

Plasma adalah komponen penting dalam darah yang membawa sel darah dan platelet ke tubuh badan.

Dalam pada itu, Chen berkata, warna putih pada plasma darah itu menunjukkan kandungan lemak badan yang berlebihan.

“Kandungan lemak pada plasma darah pesakit ini adalah 25 kali lebih tinggi berbanding kadar normal.

“Kadar yang tinggi ini menjejaskan pankreas pesakit dan menyebabkan organ itu bengkak,” katanya.

Menurutnya, pihak hospital membuat pemindahan plasma darah yang sihat bagi menggantikan plasma darah pesakit itu.

Sementara itu, Zhao memberitahu, dia menjalankan perniagaan makanan dan memakan daging dalam jumlah yang banyak sejak beberapa tahun lalu.

“Saya hanya makan dan tidak pernah terfikir ia akan menjejaskan kesihatan saya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.