SPRM Tahan Datuk Palsukan Jual Beli Unit Kondominium Bumiputera

DUA individu termasuk seorang bergelar Datuk direman selama empat hari sehingga Isnin ini, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Pulau Pinang Ahmad Tajudin Zain, hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Datuk Abd Aziz Aban berkata, dua individu itu dengan seorang berpangkat Pengarah Urusan sebuah syarikat pemaju perumahan ditahan di dua lokasi berbeza kira-kira 6 petang semalam.

“Penahanan dibuat selepas mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan pemalsuan perjanjian jual beli sebuah projek kondominium di Pulau Pinang

“Turut ditahan ialah wanita berusia 39 tahun yang juga Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran syarikat terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pemalsuan perjanjian jual beli dengan menggunakan 20 penama sebagai pembeli kuota Bumiputera untuk unit kondominium di Batu Feringghi.

“SPRM kini sudah merekod keterangan daripada 20 saksi bagi membantu siasatan kes pemalsuan itu. Ia dilakukan dengan tujuan mengurangkan jumlah sumbangan pelepasan kuota Bumiputera yang perlu dibayar pemaju kepada kerajaan negeri.

“Mereka dipercayai membayar sejumlah wang kepada seorang individu bagi mendapatkan salinan kad pengenalan daripada mana-mana orang yang kononnya sebagai pembeli Bumiputera bagi projek perumahan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (a) Akta SPRM 2009. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.