Serpihan Pesawat Hawk 108 TUDM Berjaya Ditemui

KUALA LUMPUR – Pesawat latihan lanjutan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Hawk 108 M40-02 yang terbabit nahas mengorbankan dua juruterbangnya ditemui berhampiran Kampung Yak Yah, Chukai Terengganu pagi tadi.

Markas Tentera Udara menerusi satu kenyataan sebentar tadi, memaklumkan bangkai pesawat terbabit ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan helikopter EC725 disambung jam 7 pagi tadi dan berjaya mengesan kedudukannya pada jam 10.27 pagi.

Menurut kenyataan itu, sepasukan Tim SAR dari No 10 Skuadron Kuantan diketuai juruterbang, Kapten Nazir Mohd Nor dan Kapten Muhammad Yunus Mat Nor bersama Sarjan Udara Azrin Mohamad@Johor, Koperal Udara Sharizal Baktiar Jamali dan Koperal Udara Zulbakrin Masuda berjaya mengesan kedudukan bangkai pesawat.

“Mereka diturunkan (ke lokasi pesawat ditemui) dan mengesahkan yang ia adalah pesawat malang itu.

“Seterusnya tindakan memasang perimeter keselamatan bagi tujuan penyiasatan serta keselamatan dilaksanakan. TUDM kini dalam usaha mengeluarkan pesawat itu,” kata kenyataan itu.

Katanya lagi, Lembaga Penyiasatan yang diketuai Leftenan Kolonel A John Sham bersama tiga pegawai sudah berada di lokasi untuk menjalankan penyiasatan yang sudah pun bermula daripada semalam.

Difahamkan, sepasukan anggota daripada 4 Briged Mekanis membuat pencarian serpihan pesawat di sekitar lokasi pesawat ditemui selepas solat Jumaat tadi dari kawasan Kampung Ibok sehingga 10 batu nautika arah selatan kawasan terbabit.

Sementara itu, sumber memberitahu badan utama pesawat terbabit terbenam ke dalam tanah menyebabkan usaha mencari kotak hitam pesawat berdepan sedikit kesulitan.

Sumber turut memberitahu pesawat terbabit ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi mayat dua juruterbang, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, ditemui, semalam. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.