PPBM Keliru Pendirian PKR Dalam Isu Mahathir Pengerusi PH

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa keliru dengan pendirian PKR berkenaan jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Noor mengulas kenyataan seorang pemimpin PKR semalam bahawa parti itu tidak bersetuju dengan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi gagasan pembangkang tersebut kerana bimbang beliau akan menguasai PH.

“Saya tidak tahu, saya agak keliru, tidak pasti… Sama ada PKR setuju atau tidak, (cadangan) dengan Dr Mahathir sebagai pengerusi,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul pada semalam memberitahu cadangan pelantikan Pengerusi PPBM itu akan menguatkan lagi penguasaan Dr Mahathir di dalam Pakatan Harapan (PH).

Bukan itu sahaja menurut Johari jawatan pengerusi tidak perlu diwujudkan sama sekali, malah parti itu merasakan lebih ‘cocok’ sekiranya Dr Mahathir digandingkan bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat PH.

“Bergantung kepada pengerusi… Sesetengah pengerusi tak mahu berperanan, sesetengah pula mahu berperanan

“(Tetapi) bergantung kepada individu tersebutlah,” katanya mengulas dakwaan penguasaan Dr Mahathir itu.

PKR juga pada semalam menafikan penyebaran struktur kepimpinan PH yang menamakan Anwar sebagai penasihat, Dr Mahathir sebagai pengerusi, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula sebagai presiden gabungan pembangkang itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.