Pemimpin PPBM Perlu Terbuka Terima Teguran, Kata Anina

SHAH ALAM – Seorang pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu kepimpinan parti bersikap terbuka dalam menerima teguran mahupun kritikan yang disuarakan pemimpin muda atau di peringkat akar umbi parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Anina Saadudin berkata pemimpin parti tidak seharusnya lari daripada persoalan yang telah dibangkitkan ahli, sebaliknya berani berdepan selaras dengan prinsip parti, ‘berani kerana benar’.

“Pada saya kalau ahli menyuarakan, jika ahli mengkritik pemimpin, pemimpin perlu berlapang dada untuk mendengar kritikan ahli akar umbi.

“Saya rasa berani kerana benar. Parti PPBM ditubuhkan atas prinsip berani kerana benar. Berani kerana benar maka sebagai sebuah parti walaupun parti baru tetapi para pemimpinnya yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun di dalam politik sepatutnya tahu bagaimana nak mengendalikan. Nak menjawab soalan-soalan yang dibuka oleh akar umbi. Bukannya lari dari soalan.

“Tidak boleh lari dari masalah sebaliknya berhadapan dengan masalah dan jawablah soalan tersebut. Bukan mengambil tindakan terhadap orang yang menanyakan soalan sebaliknya jawab soalan tersebut dengan baik sebab dia cuma tanya soalan,” katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Mengulas lanjut, Anina berpandangan bahawa jika PPBM mahu menonjol sebagai sebuah parti yang menjunjung demokrasi dan telus, maka ia harus mempamerkan semangat keterbukaan pada kritikan.

Semalam, seorang lagi Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Abdul Wahazir Abdul Wahabi tampil mempertahankan tindakan Muhammad Hafiz, yang juga salah seorang exco sayap, yang menuntut penjelasan terhadap isu yang melingkari Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada Sabtu lalu, Muhammad Hafiz menggesa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjelaskan mengenai kekayaan anak-anaknya yang diperoleh dalam masa yang singkat, dan mahu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tuduhan skandalnya dengan seorang wanita yang sehingga kini dakwanya masih belum terjawab.

Muhammad Hafiz juga menjelaskan cubaannya untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkannya itu daripada kepimpinan yang lain, sering kali tidak dilayan.

Desakan Hafiz disanggah Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beberapa hari lalu yang menafikan dakwaan tersebut malah mahu merujuk tindakan mereka yang berkenaan kepada Lembaga Disiplin parti.

Menurut Syed Saddiq, pelbagai forum diadakan bagi memberi peluang ahli parti mengajukan soalan namun tidak ada satu pun yang dihadiri Muhammad Hafiz. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.