“Mak Restu Kamu Jadi Juruterbang”

KUALA LUMPUR – “Mak tidak mahu kamu berkecai-kecai. Mak hendak kamu satu jasad.”

Itu antara perbualan terakhir Datin Hanizah Ibrahim, ibu kepada Mejar Yazmi Mohamed Yusof, yang menjadi mangsa nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Hawk 108.

Katanya, nasihat yang diberi itu langsung tidak dibalas anak bongsu kepada empat beradik tersebut.

“Saya rasa kehilangan sangat, dia ibarat anak emas dalam keluarga. Adik beradik yang lain pun sayang pada dia. Kalau kena marah pun dia tidak pernah menjawab.

“Saya cakap dengan dia, ‘mak restu kamu jadi juruterbang, mak hendak kamu meninggal dengan satu keping, mak tak nak kamu berkecai-kecai. Mak nak satu jasad’.

“Dia (Yazmi) tidak menjawab. Itu antara perbualan terakhir kami,” kata Hanizah selepas selesai upacara pengebumian Allahyarham Mejar Yazmi di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa di sini hari ini.

Hanizah turut menceritakan perbualan terakhir beliau bersama anak keempatnya itu pada Selasa lalu.

“Saya tidak sangka dia pergi dahulu sebelum saya. Saya ingat saya dulu (meninggal dunia). Akhir sekali dia telefon saya pada hari Selasa malam Rabu.

“Dia kata dia nak terbang ke Kuantan, sekarang dia buat latihan di Kuantan, doakan lah dia. Saya jawab, saya doakan semua, tentera darat, laut dan udara. Mak doakan untuk semua dan untuk negara.

“Saya tanya, balik raya tak? Dia kata balik Teluk Intan,” jelas Hanizah.

Hanizah yang terima dengan redha pemergian Yazmi berjanji akan memastikan keenam-enam cucunya itu mendapat pendidikan yang sempurna walaupun tanpa bapa. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.